Thursday, April 28, 2011

Yang terakhir...






Dalam kesempatan yang ada ini, diri ini Abdul Rahman bin Fauzi memohon sejuta kemaafan kepada sahabat-sahabat,ikhwah, rakan-rakan,cikgu-cikgu, ustaz ustazah, lecturers, muallim muallimah, classmates, housemates, brothers, sisters, para pelawat blog saya, anonymouses,dan semua tidak kira yang terbabit dengan saya secara langsung atau tidak. 

Juga kemaafan di pohon bagi pihak tunang dan bakal isteri saya, Rahmahtulnisah binti Shuhaimi andainya dalam perjalanan kami hidup sebagai seorang manusia biasa yang berinteraksi dengan anda telah banyak buatkan anda terasa, terkasar, terlebih nasihat, terkurang budi, tersakit hati atau apa-apa sahaja yang membuatkan anda merasakan ia tidak patut ditunjukkan dalam akhlak kami. Andainya anda adalah orangnya, sudilah menegur silap kami, islah kami, nasihati kami walau dengan apa cara sekali pun. Sesungguhnya blog ini telah dibuka seluas-luasnya untuk dikomen, dikritik, dipuji, dinasihati, dan sebagainya samada sebagai seorang pembaca berprofil atau anonymous. Ruang shoutbox juga tersedia untuk anda singgah dan tinggalkan jejak.

 Tidak lupa juga terima kasih atas segala nasihat, komentar dan perkongsian pendapat yang anda berikan dalam usaha untuk menjadikan diri ini dan blog ini lebih bermanfaat. Saya kreditkan penghargaan buat akh Bilal bin Jailani atas lukisannya yang cantik dan bermakna yang saya guna untuk dijadikan background blog ini. Uhibbuka fillah. Pesanan anda saya takkan lupa. Kita pasti akan berjumpa lagi. Kalau bukan di sini, dalam perjuangan ini atau di syurga nanti. Ameen... 

Akhirul kalam, doa-doakan kebahagiaan dan kejayaan hidup kami, dalam usaha kami mencapai redha ilahi, untuk menuju syurga abadi.  Buat mak ayah, abang Anas, Muadz, Kak Maryam, Asiah, Sumayyah, Fatimah yang bakal mendirikan rumah tangga, Aishah, Asma' dan adikku Bee, Man takkan hampakan kamu semua. Salam sayang dan kemaafan daripada kami, insan biasa yang lemah dan lupa.


Siapa saya tanpa anda....




Wednesday, April 27, 2011

Tuesday, April 26, 2011

Saya cuba melihat dari dimensi lain. Bukan untuk mencari kelainan tetapi sekadar ingin menyumbang ke arah menyempurnakan sudut pandang. Berbeza tidak semestinya bertentangan. Perbezaan hanya melihat dari sudut lain yang mungkin menjadi ‘titik buta’ orang lain. Manakala ‘titik buta’ kita pula perlu disuluh oleh pandangan orang lain. Begitulah seadanya. Kata sesetengah orang inilah yang dikatakan ‘the same difference’ – perbezaan dalam kesamaan.
Justeru, awal pagi tadi saya menulis artikel di bawah apabila melihat dan membaca para ‘demonstran’ anti Zionis yang berjumlah puluhan ribu semalam. Secara peribadi, tanpa diduga saya diminta mengimami solat hajat (atas permintaan keluarganya) untuk keselamatan seorang ahli kariah surau kami yang turut berada di atas kapal yang diserang oleh halikopter Yahudia baru-baru ini. Kebetulan, imam pada malam itu berada di luar kawasan… jadi saya ke depan menjadi imam atas permintaan kawan-kawan. Namun, bermula malam itu saya terus berfikir…
Sehinggalah pagi ini, apa yang saya fikirkan itu, saya coretkan dalam bentuk “dialog” yang saya imiginasikan. Agar mudah dihadam dan dihayati. Pohon maaf atas kekasaran bahasa atau kelancangan makna. Semoga dibaca dengan rasa terbukan, seperti mana saya cuba terbuka menulisnya. Terimalah… MARI DEMONSTRASI HARI-HARI!
Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.
“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”
Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk. 
“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”
“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”
“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.
“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”
“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”
“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”
Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”
Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”
“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”
Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “
“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”
Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?
Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!
Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka!”
Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?


PAHROL JUOI

Sunday, April 24, 2011

Yang tertutup itu indah..Seindah-indah perhiasan dunia...


Yang tertutup itu indah

Tudung Labuh - Pengalaman menarik Fatimah Syarha, penulis novel Seindah Mawar Berduri dan Musafir Syabab Kasih, menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?”

Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.



Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.




Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.


Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.




Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.




Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.


Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.




Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.




.............................................


Sejak kecil, Abah sangat melarang saya memakai tudung tiga segi yang labuhnya sedikit cuma dari bahu. Tapi kerana biah saya di MRSM yang mewajahkan tudung labuh sebagai jumud, saya protes.

Saya mula bertudung labuh dengan kerelaan sendiri sejak mendaftarkan diri ke Matrikulasi pada 15 Mei 2006. Dimulakan dengan tudung empat segi bidang 60.

Kenapa saya melabuhkan tudung?

Saya takut melihat iklan-iklan dan tayangan di televisyen tentang mahasiswi di IPT. Pakaian ketat, pergaulan bebas. Itulah bayangan saya tentang universiti.

Jesteru, saya mahu tudung menjadi perisai diri, secara tidak langsung sebagai tanda 'Hey, treat me like a proper muslimah!'

Tudung Sebagai Pelindung

Boleh kata setiap hujung minggu saya perlu keluar ke negeri-negeri lain sewaktu menuntut dulu. Pasti, kenderaan awam seperti bas dan keretapi akan saya guna.

Tudung labuh bulat akan saya kenakan bila bermusafir dengan kenderaan awam. Ia banyak menyelamatkan saya.

Dalam bas atau keretapi, selalunya lelaki tak akan duduk disebelah saya. Yang peliknya, dia boleh selamba duduk dengan perempuan lain. Mungkin dia segan pada penampilan saya. Alhamdulillah, selamat.

Kalau naik keretapi waktu puncak di KL Sentral atau lebih lagi di Bank Negara, saya tak risau dihimpit lelaki. Ramai yang akan beri ruang kepada saya, dan mereka tak berani untuk merapat. Alhamdulillah, selamat!

Tudung Labuh Sebagai Pemberi Hormat

Percaya atau tidak, saya dan rakan-rakan pernah diberi tempat duduk di dalam keretapi, hanya kerana kami bertudung labuh dan berjubah, sedangkan lebih ramai manusia sedang berdiri.

Bila membeli belah, peniaga akan menjaga tangan mereka sewaktu menghulurkan wang baki. Lucu juga, tapi itulah tandanya dia hormat.

Tudung Labuh Sebagai Warden

Satu hal saya perasan, pakaian akan mengawal tingkah laku saya. Bila saya memakai T-Shirt dan seluar, saya suka berlagak lelaki. Hatta di dalam rumah sekali pun.

Tapi bila memaki tudung labuh, berjubah atau baju kurung, saya rasa lebih feminin. Langkah saya lebih terjaga, tidak melompat ke sana ke mari.

Ya, tidak dinafikan ada sahaja sebilangan bertudung labuh yang akhlaqnya lebih teruk dari yang tidak bertudung. Tapi sekurangnya dia berani untuk bermujahadah dengan persepsi orang terhadapnya, sekurangnya dia telah selesai bahagian auratnya.

Moga tindak tanduk kita semuanya digerakkan oleh Allah.

Sunday, April 17, 2011

Kegagalan bukanlah pengakhiran segala-galanya

Kebelakangan ini, perkara yang asyik bermain di fikiran saya ialah 'fail' dan 'repeat year'. Bukan apa. Itulah perkataan keramat yang sangat ditakuti oleh pelajar-pelajar sistem blok(medic dan dentistry) apabila menjelang profesional exam. Hampir setiap hari terdengar bualan tentang 'fail' dan 'repeat year' hingga buat saya muak. Pesimis sangatkah? Atau terlebih risau sehingga lupa makna kehidupan? =)

Tiba-tiba datang satu idea menjengah ke dalam kepala ketika sedang berbual dengan seorang ikhwah selepas maghrib. Bercakap tentang kegagalan, kita mungkin keliru bagaimana kita mendefinisikan kegagalan. Yang pastinya kegagalan adalah antonim kepada kejayaan. Dan apa pula definisi kejayaan?

Kegagalan bukanlah kerana result kita "FAILED"


"....Barangsiapa yang dilepaskan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya..."(Ali Imran:185)



Itulah erti sebenar kejayaan. Kejayaan dilepaskan daripada api neraka Allah dan dimasukkan ke dalam syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan. Kerana kegagalan hakiki adalah gagalnya untuk memasuki syurga Allah yang disediakan untuk hamba-hambaNya yang beriman. Tapi mungkin kita tidak 'beriman' dengan makna kejayaan itu maka kita memberikan definisi kegagalan dan kejayaan mengikut apa yang kita tahu daripada orang lain sehingga ia membuatkan kita lebih takut untuk melihat kita 'failed' dalam exam daripada takut dilemparkan oleh Allah ke dalam neraka yang panasnya tiada siapa sanggup menahannya. Astaghfirullah....

Mengapa hari ini ramai sahabat kita yang rasa 'down', rasa bodoh, rasa tidak pandai, dan macam-macam lagi perasaan negatif dan pesimis dilabelkan kepada diri mereka sendiri. Perasan atau tidak kita yang 'pass' ini membuatkan mereka berasa sedemikian. Apa tidaknya, setiap kali ada sahabat kita yang tiada rezeki untuk 'pass', kita mula menunjukkan sikap simpati dan kasihan kepada mereka. Seolah-olah mereka ini golongan 'kelas kedua' yang mana ada golongan yang superior daripada mereka. Kita yang Allah beri rezeki untuk 'pass' ini sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana tidak diuji seperti mereka.

Percayalah!Kita bukan gagal kerana kita bodoh. Kita bukan gagal kerana kita tidak memberi yang terbaik. Kita mungkin gagal kerana Allah masih belum mahu memberikan kita kejayaan. Kita mungkin masih belum cukup study. Kita mungkin masih belum cukup amal kepada Allah. Kita mungkin masih terlalu banyak leka dengan maksiat. Kita mungkin......

Kita sebenarnya tidak gagal, tapi kurang bernasib baik


Ada orang dah study sampai tidak tidur. Ada orang dah buat discussion dari pagi sampai ke malam. Ada orang yang tidak pernah ponteng kelas dan selalu menumpukan perhatian dalam kelas. Tapi, tak mustahil kadang-kadang nasib tidak menyebelahi mereka. Mana tahu ditakdirkan Allah, pada hari exam, mereka demam, mereka sakit, mereka ditimpa kemalangan, mereka diuji dengan kematian ahli keluarga, dan bermacam asbab yang Allah ciptakan sehingga mereka tidak mampu untuk buat yang terbaik semasa dalam dewan peperiksaan. Jadi, adakah layak mereka yang 'failed' dipandang rendah dan patut dikasihani?

Hakikatnya mereka juga setaraf dengan kita. Mereka juga belajar sama dengan apa yang kita pelajari. Bahkan mungkin ilmu mereka melebihi daripada ilmu kita. Tapi Allah belum mengizinkan mereka untuk mengecapi kejayaan itu. Allah belum mahu kita mendapat 'pass' itu. Jadi tidak perlulah rasa sedih dan berduka cita. Perjalanan kita masih jauh dan panjang. Allah mahu memberi kita peluang untuk mendalami ilmu itu lebih daripada orang lain. Bukan terhenti pada perkataan 'failed'.

Kembalilah kepada Allah sebelum terlambat


Apapun yang berlaku, kita kembalikan segala pengharapan kita kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik dan Maha Adil dengan hamba-hambaNya. Biar apapun penghujungya, biarlah perjalanannya taqwa. Biarlah di celah-celah liku perjalanan itu sabar. Biarlah setiap jurang dan lubang yang ditempuhi itu mujahadah. Agar arah perjalanan kita adalah taat. Biarlah klimaksnya kenikmatan syurga. Pengakhirannya dilepaskan dari neraka. Semoga Allah redha....




Ya Allah, ampunkanlah aku kerana selalu mendahuluiMu dengan usahaku. KepadaMu aku pasrahkan diriku. Kurniakanlah aku rahmatMu, taufiq, hidayah & inayahMu, dan tetapkanlah aku didalam keimanan dan ketaqwaan. (schanizan.blogspot.com)

Thursday, April 14, 2011

Lelaki cantik??

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik adalah:-

1) Lelaki yang mampu mengalirkan air mata untuk ingatan.

2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran.

3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun.

4) Lelaki yang tenang dan lapang dada.

5) Lelaki yang sentiasa berbaik sangka.

6) Lelaki yang tak pernah putus asa.

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki…

Dan dimana Kegagahan Wanita???

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah adalah:-

1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan.

2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan.

3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan.

4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar di penuhi segala keinginan.

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebarkanlah ajaranku walaupun satu ayat ”

Surah Al-Ahzab : Ayat 71

“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”


http://www.facebook.com/notes/pejuang-irbid/nak-tahu-kecantikan-lelaki/194801240556388

Monday, April 11, 2011

Martabat orang yang menghafal al-quran


1) عن جابر بن عبد الله أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يجمع بين الرجلين من قتلى أحد في ثوب واحد ثم يقول:" أيهما أكثر أخذا للقرآن". فإذا أشير له إلى أحدهما قدمه في اللحد، قال:" أنا شهيد على هؤلاء". وأمر بدفنهم بدمائهم ولم يصل عليهم ولم يغسلهم .(صحيح أخرجه الإمام البخاري وأبوداؤد والترمذي والنسائي وابن ماجه)
Daripada Jabir bin Abdillah ra bahawa Rasulullah SAW meletakkan jenazah dua orang yang mati shahid di Medan Uhud di dalam satu liang lahad dan Baginda bertanya : “yang manakah di antara mereka berdua ini yang lebih banyak mengambil (menghafal) al-Quran ?”. apabila ditunjukkan kepadanya (yang lebih banyak hafalannya) di antara mereka berdua, maka Rasulullah SAW meletakkannya di hadapan di dalam susunan liang lahad itu. Dan Rasulullah SAW bersabda : “Aku menjadi saksi ke atas mereka ini” (saksi bahawa merekalah yang bersungguh-sungguh di medan peperangan hingga mati shahid). Rasulullah SAW memerintah dikebumikan mereka itu dengan darah-darah mereka tanpa disolat dan tanpa dimandikan jenazah mereka itu.

Saturday, April 9, 2011

Orang lain


Apabila saya meneliti perkembangan politik tanah air dari hari ke sehari maka semakin jelas kepada saya akan sifat orang Melayu yang begitu toleran. Tidak ada bangsa di dunia ini, pada anggaran saya, yang lebih toleran dari bangsa Melayu. Semenjak merdeka hinggalah ke hari ini orang-orang Melayu sentiasa mudah untuk bertolak ansur dan begitu cepat untuk mengalah dalam banyak situasi.

Sebut sajalah apa isu sekalipun, maka pasti satu perkara yang kita akan sentiasa dengar dari pemimpin Melayu, samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, ialah;
Apa orang lain fikir…?
Nanti orang lain akan silap faham…
Nanti orang lain akan terasa hati…
Nanti orang lain akan marah…
Nanti orang lain akan ambil tindakan…
Nanti orang lain… nanti orang lain… Begitulah nada seterusnya.
Hatta apabila nak bercakap pasal Islam pun, pemimpin Melayu akan sangat berhati-hati supaya ORANG LAIN tidak keliru. Tidak terkecuali juga pimpinan-pimpinan agama, samada mufti mahupun bekas mufti. Tidak pasti adakah populariti yang dicari atau lahir dari keikhlasan hati.
Lihat saja apa kenyataan pemimpin-pemimpin Melayu terhadap isu Bible, isu interlok, isu poco-poco, isu kalimah Allah, isu Ketuanan Melayu, isu ekonomi dan pelbagai isu lagi.
Saya teringat kes di mana seorang ADUN PAS cuba membasmi arak di Shah Alam, maka berlumba-lumba pemimpin Melayu lain mengkritik. Kononya Islam tidak sebegitu rupa. Kita kena berhikmah, jangan sampai ORANG LAIN menganggap Islam begitu sempit.
Benar, kita berada dalam masyarakat majmuk tetapi apakah itu bermakna kita langsung tidak boleh memperkatakan hak diri sendiri? Kenapa kita kena fikir hal ORANG LAIN, perasaan ORANG LAIN, ketakutan ORANG LAIN,  sedangkan ORANG LAIN tidak pernah memikirkan nasib kita? Mereka sebaliknya amat berani memperjuangkan nasib bangsa mereka hingga ke peringkat antarabangsa. Seorang saja Menteri yang mereka ada sudah cukup untuk membisukan seluruh pimpinan Melayu samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, samada parti Islam mahupun parti separa Islam. Tangisan NGO Islam ditulikan tetapi kemarahan NGO bukan Islam pula digeruni. Pemimpin Melayu sanggup “sujud” kepada ORANG LAIN.
Semakin hari saya menjadi semakin keliru, kenapa orang Melayu kena fikir pasal ORANG LAIN? Tidakkah mereka mempunyai jatidiri lagi?  Apakah logik kaum 18 juta terpaksa tunduk kepada kaum 7 juta?
Pimpinan Melayu bagi saya berjaya mengelirukan bangsa mereka sendiri; antara perkara yang prinsip tanpa toleransi dengan perkara teknikal yang boleh ditoleransikan. Sedangkan sejarah membuktikan ORANG LAIN tidak pernah dan tidak akan bertoleransi apabila menyentuh keutuhan bangsa mereka seperti dalam soal-soal pendidikan, budaya dan ekonomi. Mereka sanggup berkorban segalanya demi mepertahankan hak mereka.
Ketakutan yang amat sangat kepada ORANG LAIN membuatkan pemimpin Melayu sentiasa bersikap sebelum bercakap, mereka akan fikir dulu apa ORANG LAIN akan kata… baru mereka cakap. Sebelum buat kenyataan, mereka akan fikir dulu adakah ORANG LAIN akan setuju… baru mereka keluar kenyataan.
Saya tak pasti sejauh mana lagi pemimpin Melayu harus berfikir untuk ORANG LAIN dulu bukan nasib bangsa sendiri dulu.
Ini semua kerana pemimpin Melayu tidak bersatu. Alasannya amat senang, kerana pemimpin Melayu amat bimbang ia akan menjejaskan kedudukan politik mereka. Dogma yang mengatakan ORANG LAIN menjadi penentu undi begitu kuat dilaungkan membuatkan hidung pemimpin Melayu senang ditarik ke sana dan ke mari. Mereka sudah hilang agenda perjuangan. Ya, sekali lagi saya tegaskan, mereka hilang agenda perjuangan.
Apakah nasib bangsa Melayu pada tahun 2020 nanti? Saya serahkan kepada pembaca untuk memikirkan.
“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”
Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: 
Suara Dari Gunung