Thursday, September 30, 2010

Negativisme Pergaulan Bebas>>>>mesti baca!!


Kes 1
Saya telah membaca sebuah kiriman kepada majalah Reader’s Digest dalam salah satu isunya yang terbaharu (2010). Ada seorang remaja berumur 14 tahun merungut dan mempersoal mengapa ibunya tidak membenarkan dia mempunyai teman wanita dan dalam masa yang sama hanya dirinya seorang yang tidak mempunyai teman wanita di kalangan rakan-rakannya.

Yang sedap dipandang, tak semestinya manis.Mungkin masam.
Yang sedap dipandang, tak semestinya manis.Mungkin masam.
Kes 2
Beberapa hari lepas saya terbaca tajuk akhbar Harian Metro tentang seorang gadis berumur 24 tahun yang gaji pekerjaannya selama tempoh beberapa tahun dirampas oleh teman lelakinya. Beberapa tahun sehinggalah beberapa hari lepas, perbuatan lelaki tersebut akhirnya akan meletakkan dirinya di belakang batang-batang besi penjara.
Muqaddimah
Saya merasakan bahawa hampir setiap hari, kisah-kisah seperti ini akan menghiasi dada akhbar mahupun paparan mana-mana majalah. Ini adalah salah satu daripada penyakit ummat yang semakin membarah. Kita tidak sekadar dihentak dan dipijak-pijak dari luar, tetapi kita juga sedang tenggelam dalam kemelut sosialisasi tanpa batas. Apakah yang menjadi punca gejala-gejala ini? Meskipun ada yang akan mengatakan bahawa itu ialah kesilapan didikan dan pilihan individu tersebut, kita tidak mampu menafikan berlakunya kecacatan dalam masyarakat dan gejala-gejala di atas ialah akibat daripada pergaulan yang tidak berlandaskan syara’
Ibu-bapa penggalak maksiat
Lihatlah kepada kotak dan pola pemikiran masyarakat zaman sekarang, kita mula mengambil kiblat pemikiran masyarakat yang berada di luar konteks dan kebudayaan masyarakat kita. Ada
Ibu bapa wajib menjadi role-model yang terbaik buat anak-anak
Ibu bapa wajib menjadi role-model yang terbaik buat anak-anak (gambar hiasan)
daripada ibu-bapa yang menjadi hairan dan pelik mengapa anak-anaknya masih belum berpunya atau mempunyai teman sehingga si anak dipaksa-paksa mencari seseorang. Ataupun ada ibu-bapa yang mencarikan pasangan untuk anak-anak mereka pula dan memaksa anaknya untuk keluar ‘blind date’ dengan lelaki atau perempuan tersebut.
Di situasi yang lain, ibu-bapa seolah-olah menganggap ia adalah satu fenomena yang biasa untuk anak-anak tadi berteman, sehinggakan pasangan mereka ini dialu-alukan datang ke rumah, lebih teruk lagi sehingga ke tahap membenarkan seorang lelaki ajnabiy (asing) tidur bermalam di rumah mereka yang mana mereka tidak mempunyai pertalian secara halal langsung. Apabila ibu-bapa yang sepatutnya membimbing dan mendidik anak-anak tidak mampu memainkan peranan mereka sebagai qudwah (role-model) yang baik, maka kepincangan dan ketoprokan seperti inilah yang akan dihadapi oleh anak-anak kita. Sehinggakan pada satu tahap apabila anak-anak berzina diambil secara sambil lewa, dan dia tidak melihat perbuatan itu sebagai suatu perbuatan maksiat.
Perkembangan sosio budaya barat dan Islam
Mereka akan bertanya, mengapa kita terlampau kecoh tentang isu-isu ini sedangkan masyarakat di barat tidak seperti kita? Jawabnya mudah, kita tidak hidup di negara barat, tetapi kita hidup di sebuah negara di Timur yang konteks sosio budaya tidak seperti apa yang diamalkan di mana-mana negara barat. Konteks pembangunan sosio budaya barat bukan diasaskan di atas satu batu asas yang kukuh di mana ia tidak mampu untuk memimpin dan memandu ummat manusia kepada kebaikan dan terus kekal relevan.
Pembangunan sosio budaya barat dibangunkan atas falsafah dan teori manusia dan hakikatnya ialah manusia itu mempunyai kelemahan. Sesuatu yang lemah tidak akan mampu untuk menyempurnakan kelemahan yang ada pada sesuatu yang sedia lemah. Lihat kepada falsafah kapitalisme, ia tidak mampu untuk mengekalkan keharmonian masyarakat dan mengimbangi pendapatan penduduknya serta memberikan keselesaan, kerana ia berasaskan peluang serta kebebasan mutlak. Kita akan melihat masyarakat yang kaya akan terus dan tetap kaya sedang yang miskin akan terus terbelenggu dengan masalah yang sama. Ini mengundang masyarakat yang membawa watak ‘underdog’ untuk bertindak melakukan apa yang terdaya mereka demi meneruskan kehidupan, sekalipun ia adalah merompak. Bagaimana dengan mereka yang tidak mempunyai rumah? Ada yang memilih untuk melacurkan diri demi meneruskan kehidupan, sehingga adanya profesion pelacur yang profesional. Dan seterusnya, yang kita lihat ini semuanya adalah hasil daripada falsafah pemikiran manusia yang terhad dan cetek.
Kita sudah hampir 53 tahun merdeka, tetapi adakah kita bebas sepenuhnya?
Kita sudah hampir 53 tahun merdeka, tetapi adakah kita bebas sepenuhnya?
Di sisi lain, perkembangan sosio budaya masyarakat di Malaysia bukan bermula selepas kita dijajah oleh British, mahupun selepas kita bebas daripada cengkaman jajahan mereka. Sosio budaya masyarakat kita bermula selepas Islam datang ke Tanah Melayu. Islam datang membebaskan ummat manusia di Tanah Melayu daripada penyembahan berhala dan animisme kepada sembahan Allah SWT secara mutlak. Kemudian, Islam membawa satu tatacara kehidupan yang memandu dan memimpin masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Islam memastikan masyarakat terpelihara daripada sebarang ancaman anasir jahiliyyah serta membela kehidupan masyarakat dengan memberikan hak-hak mereka daripada zakat yang dikutip. Islam membenarkan masyarakatnya mencari kekayaan, namun bukan kekayaan yang membuta tuli tanpa memberi hak kepada mereka yang memerlukan dengan mensucikan harta mereka. Kerana itu Islam mengajar kesederhanaan, dalam kekayaan.
Apa yang kita lihat daripada situasi Islam hari ini ialah hasil mainan musuh Allah yang mempertonton dan merendah-rendahkan Islam sebagai agama yang kolot dan jumud. Islam dihimpit kemiskinan kerana mainan tangan-tangan musuh Allah dan kerana kelemahan kita sendiri. Ingatlah pengkhianatan gunting dalam lipatan ketika khilafah Abbasiyah berada di puncaknya di Baghdad, juga jangan lupa pengkhianatan musang berbulu ayam ketika khilafah Uthmaniyyah yang menggadaikan keistimewaan dan kekuasaan Islam.
Kita perlu melihat kembali ketika zaman permulaan dan kegemilangan Islam dahulu. Betapa Islam ini menjadi sesuatu agama yang paling mulia dan agung. Bagaimana Islam diamalkan dengan benar dan betul sehingga mampu menyusun masyarakat yang berbudi dan berperkerti mulia. Sehingga melahirkan masyarakat yang takut akan melakukan maksiat. Sehingga melahirkan masyarakat yang memuliakan nyawa dan hak orang lain. Sehingga melahirkan masyarakat yang berani mempertahankan maruah dan aqidah.
Bahkan kekayaan tidak dinikmati oleh segolongan pihak, bahkan ianya turut dirasai oleh golongan yang memerlukan. Dalam masa yang sama kesederhanaan dalam kekayaan ini mampu melahirkan masyarakat yang harmoni. Amat jarang ketika zaman baginda nabi SAW mentadbir jazirah Arab berlakunya kes-kes zina, tiada kes pembuangan bayi dan seumpamanya. Tiada yang mahu mencuri kerana khuatirkan hukuman Allah di dunia dan juga di akhirat. Dan tiada yang tidak dihakimi secara adil, melainkan telah jelas hal tersebut.
Kehilangan Besar
Kembali kepada topik kita. Kalau mahu dicarikan faktor dan solusinya, maka terlampau banyak sudah ia dibentang dan diberitahu tetapi teramat ramai pula yang tidak mahu ambil tahu. Masyarakat kita menjadi lali dengan maksiat dan melihatnya sebagai satu fenomena yang biasa kerana kita telah hilang acuan yang membentuk masyarakat, kita telah hilang panduan yang memimpin masyarakat, kita telah hilang qudwah yang menjadi contoh tamsil kehidupan kita. Kita sekarang sudah menjadi sepertimana masyarakat di barat, mencedok identiti yang tidak pasti. Sedang mereka sendiri tidak punya identiti yang jelas, bahkan hanya mencedok daripada fahaman-fahaman ciptaan mereka sendiri.
b Belia hari ini harus tampil soleh, cergas dan positif/b
Para belia hari ini harus tampil soleh, cergas dan positif (gambar hiasan)
Islam telah datang membawa sinar harapan untuk membentuk, memimpin dan menjadi contoh kepada ummat. Kita masyarakat Melayu yang amat berkait dengan Islam, bahkan pembentukan dan pembangunan sosio budaya masyarakat Melayu terdahulu bermula dengan Islam sebagai asas, Islam sebagai tiang, dan Islam sebagai atap serta dinding. Ummat Islam berbangga dengan aqidah dan deennya, kerana inilah satu-satunya agama yang memperincikan bagaimana kehidupan ini seharusnya kita tempuhi. Kerana inilah satu-satunya deen (agama) yang diturunkan Allah yang masih terpelihara dan membawa acuan dan neraca langit, di mana Dialah pencipta alam ini dan seluruh isinya dan Dialah semata-mata yang mengetahui selok-belok ciptaan-Nya. Maka hanya kesempurnaan Pencipta sahaja yang mampu untuk memimpin manusia yang lemah.
Ibu bapa ialah duta Islam terbesar selepas para ulama’, umara’, da para du’aat. Anak-anak bukan bahan eksperimen yang kita boleh buat kajian dan pemerhatian seterusnya ubah metodologi pendidikan terhadap mereka seandainya metod sebelumnya tidak berjaya. Kegagalan ibu bapa untuk memberikan didikan terbaik kepada anak-anak akan memberi impak yang besar dan berpanjangan kepada pembangunan kendiri dan pola pemikiran anak-anak. Dalam pengalaman hidup saya yang singkat saya telah banyak bertemu dengan keluarga-keluarga liberal dan saya melihat kesan tersebut terhadap anak-anak tadi. Juga saya pernah bertemu dengan anak-anak yang tidak erti bersolat sedang umur mereka sudah menjengah belasan tahun.
Ketamadunan moral dan akhlak mulia masyarakat kita akan terus merudum dan musnah seiring dengan berkembangnya teknologi dan kemajuan dunia sekiranya hal-hal seperti ini dipandang enteng. Ada yang mengatakan Islam ini mengongkong, tetapi mereka lupa bahawa Islam ini ialah deen yang diturunkan Allah, Pencipta yang mengetahui apa yang terbaik dan apa yang buruk buat ciptaan-Nya, tetapi kebanyakan daripada kita masih cuba untuk menafikan hakikat ini.
Media pembinaselangor.com - Artikel ini adalah tulisan Encik Mohd Azmir bin Mohd Razli, Pelajar Tahun Empat,B.Ed TESOL IPGM Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur. Encik Azmir juga merupakan seorang aktivis belia yang bergiat aktif bersama PEMBINA. Tulisan-tulisan beliau boleh dinikmati di http://thetalkingpen.blogspot.com

“dan jadikan kami imam kepada orang yang bertakwa”. Al Furqan: 74

Sunday, September 26, 2010

Kebimbangan yang terus menghantui

Kalau ditanya pada diri apa perkara yang paling merisaukan saya, rasanya terlalu banyak untuk dinyatakan. Tapi setiap orang pasti ada sesuatu yang paling mereka risaukan atau bimbangkan. 

Ada orang risau takut gagal dalam peperiksaan, ada orang risau takut cintanya ditolak, ada orang risau kalau bisnesnya rugi, ada orang risau kalau duitnya tak cukup, dan berbagai-bagai lagi kerisauan yang pasti ada alasan mereka tersendiri.


Sampai masa nanti kita juga akan diletakkan begini....


'Masa Depan Yang Pasti'

Sepatutnya setiap kita mesti ingat bahawa setiap apa yang kita lakukan hari ini akan dinilai kembali pada suatu masa akan datang. Atau dengan kata lain, apa yang kita buat hari ini,waktu ini, saat ini, akan menjadi satu penentu masa depan kita.

Kalau hari ini kita rajin belajar, kita mungkin menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Kalau hari ini kita kuat bekerja mencari duit, mungkin kita akan bergelar jutawan pada masa hadapan. Kalau hari ini kita  tidak jemu membuat kerja Islam, satu hari nanti kita tidak mustahil kita dapat melihat hasilnya.

Tetapi kalau yang kita buat itu satu dosa, kalau apa yang kita buat itu satu kemaksiatan, kalau apa yang kita buat itu satu kederhakaan kepada Tuhan, maka bagaimanakah masa depan kita?

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian"... (Surah Ali Imran:185)

Mati itu sesuatu yang pasti. Tidak dilambatkan atau diawalkan walau sesaat. Dan ia merupakan antara rahsia-rahsia Allah yang tidak diberitahu kepada sesiapa. Ia adalah masa untuk kita menghitung amalan-amalan kita di dunia.


Pesan Diri Buat Diri

Hari ini saya main facebook. Saya kurang menjaga muamalat dengan wanita ajnabi. Setiap apa yang saya rasa, pasti mahu diluahkan pada mereka. Andai satu hari nanti saya sudah beristeri, ketika isteri saya tiada di sisi, adakah "teman-teman wanita" di facebook akan terus mengisi kekosongan hati? Mohon dijauhkan daripada semua ini, kerana  apa yang saya nampak ia merupakan punca kehancuran sebuah institusi yang murni.

Kalau hari ini saya bermain-main dengan dosa, kalau hari ini saya menangguhkan taubat, andai tiba masa malam ini Allah menjemput saya melalui malaikat mautnya, mana saya mahu letak wajah ini? Di mana saya mahu letak diri ini? Ke mana saya mahu orang bawa saya nanti? Ke taman-taman syurga atau ke lubang-lubang neraka?

Akhir sekali, buat diri yang masih diri, buat manusia yang masih manusia, buat hamba yang masih pintu taubatnya dibuka, pulanglah ke pangkuan Tuhanmu. Kerana kamu tahu yang mati itu pasti datang. Setiap kali kamu terpandang maksiat, ingatlah mati. Setiap kali hatimu gersang kerana kemaksiatan, waspadalah dengan mati. Setiap kali kamu rasa berani untuk melanggar perintah tuhan, ketahuilah penyesalan selepas mati tiada erti lagi. Walaupun akan meratap dan pagi!