Ada orang risau takut gagal dalam peperiksaan, ada orang risau takut cintanya ditolak, ada orang risau kalau bisnesnya rugi, ada orang risau kalau duitnya tak cukup, dan berbagai-bagai lagi kerisauan yang pasti ada alasan mereka tersendiri.
Sampai masa nanti kita juga akan diletakkan begini.... |
'Masa Depan Yang Pasti'
Sepatutnya setiap kita mesti ingat bahawa setiap apa yang kita lakukan hari ini akan dinilai kembali pada suatu masa akan datang. Atau dengan kata lain, apa yang kita buat hari ini,waktu ini, saat ini, akan menjadi satu penentu masa depan kita.
Kalau hari ini kita rajin belajar, kita mungkin menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Kalau hari ini kita kuat bekerja mencari duit, mungkin kita akan bergelar jutawan pada masa hadapan. Kalau hari ini kita tidak jemu membuat kerja Islam, satu hari nanti kita tidak mustahil kita dapat melihat hasilnya.
Tetapi kalau yang kita buat itu satu dosa, kalau apa yang kita buat itu satu kemaksiatan, kalau apa yang kita buat itu satu kederhakaan kepada Tuhan, maka bagaimanakah masa depan kita?
"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian"... (Surah Ali Imran:185)
Mati itu sesuatu yang pasti. Tidak dilambatkan atau diawalkan walau sesaat. Dan ia merupakan antara rahsia-rahsia Allah yang tidak diberitahu kepada sesiapa. Ia adalah masa untuk kita menghitung amalan-amalan kita di dunia.
Pesan Diri Buat Diri
Hari ini saya main facebook. Saya kurang menjaga muamalat dengan wanita ajnabi. Setiap apa yang saya rasa, pasti mahu diluahkan pada mereka. Andai satu hari nanti saya sudah beristeri, ketika isteri saya tiada di sisi, adakah "teman-teman wanita" di facebook akan terus mengisi kekosongan hati? Mohon dijauhkan daripada semua ini, kerana apa yang saya nampak ia merupakan punca kehancuran sebuah institusi yang murni.
Kalau hari ini saya bermain-main dengan dosa, kalau hari ini saya menangguhkan taubat, andai tiba masa malam ini Allah menjemput saya melalui malaikat mautnya, mana saya mahu letak wajah ini? Di mana saya mahu letak diri ini? Ke mana saya mahu orang bawa saya nanti? Ke taman-taman syurga atau ke lubang-lubang neraka?
Akhir sekali, buat diri yang masih diri, buat manusia yang masih manusia, buat hamba yang masih pintu taubatnya dibuka, pulanglah ke pangkuan Tuhanmu. Kerana kamu tahu yang mati itu pasti datang. Setiap kali kamu terpandang maksiat, ingatlah mati. Setiap kali hatimu gersang kerana kemaksiatan, waspadalah dengan mati. Setiap kali kamu rasa berani untuk melanggar perintah tuhan, ketahuilah penyesalan selepas mati tiada erti lagi. Walaupun akan meratap dan pagi!
No comments:
Post a Comment