Sunday, April 17, 2011

Kegagalan bukanlah pengakhiran segala-galanya

Kebelakangan ini, perkara yang asyik bermain di fikiran saya ialah 'fail' dan 'repeat year'. Bukan apa. Itulah perkataan keramat yang sangat ditakuti oleh pelajar-pelajar sistem blok(medic dan dentistry) apabila menjelang profesional exam. Hampir setiap hari terdengar bualan tentang 'fail' dan 'repeat year' hingga buat saya muak. Pesimis sangatkah? Atau terlebih risau sehingga lupa makna kehidupan? =)

Tiba-tiba datang satu idea menjengah ke dalam kepala ketika sedang berbual dengan seorang ikhwah selepas maghrib. Bercakap tentang kegagalan, kita mungkin keliru bagaimana kita mendefinisikan kegagalan. Yang pastinya kegagalan adalah antonim kepada kejayaan. Dan apa pula definisi kejayaan?

Kegagalan bukanlah kerana result kita "FAILED"


"....Barangsiapa yang dilepaskan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya..."(Ali Imran:185)



Itulah erti sebenar kejayaan. Kejayaan dilepaskan daripada api neraka Allah dan dimasukkan ke dalam syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan. Kerana kegagalan hakiki adalah gagalnya untuk memasuki syurga Allah yang disediakan untuk hamba-hambaNya yang beriman. Tapi mungkin kita tidak 'beriman' dengan makna kejayaan itu maka kita memberikan definisi kegagalan dan kejayaan mengikut apa yang kita tahu daripada orang lain sehingga ia membuatkan kita lebih takut untuk melihat kita 'failed' dalam exam daripada takut dilemparkan oleh Allah ke dalam neraka yang panasnya tiada siapa sanggup menahannya. Astaghfirullah....

Mengapa hari ini ramai sahabat kita yang rasa 'down', rasa bodoh, rasa tidak pandai, dan macam-macam lagi perasaan negatif dan pesimis dilabelkan kepada diri mereka sendiri. Perasan atau tidak kita yang 'pass' ini membuatkan mereka berasa sedemikian. Apa tidaknya, setiap kali ada sahabat kita yang tiada rezeki untuk 'pass', kita mula menunjukkan sikap simpati dan kasihan kepada mereka. Seolah-olah mereka ini golongan 'kelas kedua' yang mana ada golongan yang superior daripada mereka. Kita yang Allah beri rezeki untuk 'pass' ini sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana tidak diuji seperti mereka.

Percayalah!Kita bukan gagal kerana kita bodoh. Kita bukan gagal kerana kita tidak memberi yang terbaik. Kita mungkin gagal kerana Allah masih belum mahu memberikan kita kejayaan. Kita mungkin masih belum cukup study. Kita mungkin masih belum cukup amal kepada Allah. Kita mungkin masih terlalu banyak leka dengan maksiat. Kita mungkin......

Kita sebenarnya tidak gagal, tapi kurang bernasib baik


Ada orang dah study sampai tidak tidur. Ada orang dah buat discussion dari pagi sampai ke malam. Ada orang yang tidak pernah ponteng kelas dan selalu menumpukan perhatian dalam kelas. Tapi, tak mustahil kadang-kadang nasib tidak menyebelahi mereka. Mana tahu ditakdirkan Allah, pada hari exam, mereka demam, mereka sakit, mereka ditimpa kemalangan, mereka diuji dengan kematian ahli keluarga, dan bermacam asbab yang Allah ciptakan sehingga mereka tidak mampu untuk buat yang terbaik semasa dalam dewan peperiksaan. Jadi, adakah layak mereka yang 'failed' dipandang rendah dan patut dikasihani?

Hakikatnya mereka juga setaraf dengan kita. Mereka juga belajar sama dengan apa yang kita pelajari. Bahkan mungkin ilmu mereka melebihi daripada ilmu kita. Tapi Allah belum mengizinkan mereka untuk mengecapi kejayaan itu. Allah belum mahu kita mendapat 'pass' itu. Jadi tidak perlulah rasa sedih dan berduka cita. Perjalanan kita masih jauh dan panjang. Allah mahu memberi kita peluang untuk mendalami ilmu itu lebih daripada orang lain. Bukan terhenti pada perkataan 'failed'.

Kembalilah kepada Allah sebelum terlambat


Apapun yang berlaku, kita kembalikan segala pengharapan kita kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik dan Maha Adil dengan hamba-hambaNya. Biar apapun penghujungya, biarlah perjalanannya taqwa. Biarlah di celah-celah liku perjalanan itu sabar. Biarlah setiap jurang dan lubang yang ditempuhi itu mujahadah. Agar arah perjalanan kita adalah taat. Biarlah klimaksnya kenikmatan syurga. Pengakhirannya dilepaskan dari neraka. Semoga Allah redha....




Ya Allah, ampunkanlah aku kerana selalu mendahuluiMu dengan usahaku. KepadaMu aku pasrahkan diriku. Kurniakanlah aku rahmatMu, taufiq, hidayah & inayahMu, dan tetapkanlah aku didalam keimanan dan ketaqwaan. (schanizan.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment