Anda Buat Dia Cemburu?
Anda sedang asyik bersms dengan seseorang yang bukan mahram tanpa urusan penting?
Anda sedang ternanti-nanti panggilan tanpa keperluan dari si dia?
Anda sedang menunggu saat-saat dapat bertembung dengannya dan saling menikmati pandangan?
Anda sedang memilih minyak wangi paling harum untuk keluar ‘dating’?
Err, jika jawapannya ya, anda sedang membuatkan Kekasih Agung anda sangat cemburu.
Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, “Allah SWT cemburu terhadap hati hamba-Nya yang mengabaikan cinta, harap dan takut kepada-Nya, dan ada sesuatu yang lain di hatinya selain Dia.”
Kata-kata ulama muktabar ini ada asasnya daripada sabda Rasul SAW. Daripada Mughirah RA katanya: Saad bin Ubadah mengatakan :
“Demi Allah, aku lebih cemburu daripadanya (Saad bin Ubadah yang takut isterinya berzina). Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Cemburu Allah Tanda Besarnya Cinta
Kecemburuan Allah langsung tidak menunjukkan kerendahan atau Dia perlukan kita. Maha suci Dia daripada sebarang sifat kekurangan. Cemburu Allah adalah tanda besarnya cinta Yang Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba-Nya.
Dia tak memerlukan kita. Dia tak luak dengan kelalaian kita. Tak terjejas tanpa cinta kita.
Tapi kita?
Keperluan kita kepada cinta-Nya lebih penting daripada kita memerlukan makanan, minuman atau oksigen. Mencintai Allah adalah fitrah hidup kita semua.
Dia faham kalau kita mempunyai rasa cinta sesama mahkluk malah Dialah yang menganugerahkan perasaan cinta itu. Ianya membelai setiap hati tanpa ada siapa yang terkecuali. Namun, Dia cemburukan hati kita yang meletakkan cinta lain lebih agungdaripada-Nya kerana Dia sayangkan kita. Dia tak mahu kita menempah jalan sengsara. Dia menawarkan cinta yang tak pernah mengenal kecewa. Inilah hakikat keagungan cinta.
Firman Allah SWT, “Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman lebih besar kecintaannya kepada Allah.” (Al-Baqarah: 165).
“Mereka mencintainya sebagaimana atau sama dengan mereka mencintai Allah,” Inilah yang dimaksudkan meletakkan cinta lain lebih agung daripada-Nya kerana lebihmemberi perhatian, fokus dan kesediaan berkorban kepada makhluk, bukan kepada Allah.
Namun, jika mencintai makhluk kerana Allah, bukan bersama Allah, ia adalah perkara fitrah yang boleh menghantar kepada redha Allah jua. Patutlah, Ibnul Qayyim al-Jauziyah telah mengkategorikan cinta kepada 3 jenis:
1.Cinta kepada Allah.
2.Cinta kerana Allah.
3.Cinta bersama Allah.
Cinta-Nya cinta utama.
Cinta-Nya mebuatkan semua masalah besar terasa kecil kerana kita ada Allah yang Maha Besar untuk menyelesaikannya.
Cinta-Nya membuatkan kita berasa kuat dan yakin diri kerana percaya ada Raja yang mempunyai kerajaan langit dan dunia bersama kita.
Cinta-Nya membuatkan hidup kita mulia kerana merasakan diri kita hanya hamba-Nya, tidak boleh diperhambakan oleh sesama manusia.
Di Mana Tingkat Cinta Kita?
Prof. Dr. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya Islam dan Cinta meletakkan tiga tingkat cinta berdasarkan Surah al-Taubah, ayat 24, iaitu:
1)Cinta agung- cinta kepada Allah, Rasul dan jihad di jalan-Nya.
2)Cinta pertengahan-cinta kepada ayah, anak, saudara, isteri, tempat tinggal, perniagaan dan lain-lain.
3)Cinta rendah- melebihkan cinta pertengahan daripada cinta agung.
Cinta rendah mendapat ugutan Allah SWT, “Tunggulah, hingga Allah datangkan peringatannya.”
Di mana letaknya kedudukan cinta pak we dan mak we? Hmm, tidak masuk senarai pun.
Perhatikan baik-baik, kedudukan cinta rendah, iaitu melebihkan cinta pertengahan daripada cinta agung mendapat ugutan Allah. Padahal apa yang dilebihkan itu masih lagi cinta kepada yang halal. Itupun sudah mengundang murka Allah. Bagaimana pula jika kita meletakkan cinta kepada yang belum halal lebih daripada cinta Allah SWT?
Tidak hairanlah Saidina Abu Bakar amat risau melihat kecintaan anaknya, Abdullah kepada isterinya, Atikah secara berlebih-lebihan. Cinta suami isteri itu adalah cinta yang halal. Namun, apabila Abdullah lebih asyikkan Atikah daripada menyahut panggilan azan di masjid, Abu Bakar meminta puteranya menceraikan Atikah. Atikah itu adalah wanita yang solehah. Itupun, cinta tulusnya masih mengundang fitnah. Apapun, ketulusan hati kedua-dua pasangan itu kembali melebihkan cinta Allah berbanding cinta makhluk menyebabkan Abu Bakar meminta Abdullah merujuk kembali Atikah.
Oh diri, di mana kedudukan cintamu sekarang ini? Astarghfirullah!
Bila Kita Tak Kisah
Apabila kita tak ambil kisah tentang kecemburuan Allah SWT, terus mengagungkan makhluk lebih daripada-Nya, bimbang cinta Kekasih Agung akan meninggalkan kita. Teringatkan makhluk itu lumrah namun melebihkan ingatan kepada makhluk berbanding kepada Allah, itu yang mengundang fitnah.
Azab Allah yang amat berat di dunia ialah apabila Dia memisahkan kita daripada jalan-jalan menuju hidayah, menuju ke syurga. Apabila Allah SWT memisahkan kita daripada kebaikan-kebaikan, maka apa ertinya hidup kita ini lagi?
Lebih menakutkan apabila Allah menghilangkan ‘rasa’ yang boleh menyelamatkan hidup kita. Ketika itu, kita biasanya hilang pertimbangan yang wajar dalam mengambil sesuatu kepitusan bijak.
Pernah dilaporkan di dalam akhbar bagaimana seorang gadis dengan mudahnya ditipu tanpa sebarang rasa. Gadis itu menunggu abangnya di perhentian bas. Tiba-tiba, sebuah teksi berhenti dan seorang pemuda keluar daripada tempat duduk belakang. Dia meluru kepada gadis itu dan mencaci-maki dirinya,
“Memang sah, kamulah yang curi handphone saya,” tuduhnya. Gadis itu membela diri sambil terpaksa bertebal muka dan menahan malu terhadap orang sekeliling ketika itu,
“Hey, saya tak tahu apa-apa.”
“Kalau kamu rasa kamu betul, mari kita selesaikan di balai polis.”
Gadis itu tanpa curiga terus mengikut lelaki itu menaiki teksi. Teksi membawanya ke sebuah hotel. Akhirnya, dia dirogol di situ.
Kenapa begitu mudah dia ditipu oleh lelaki jahat itu?
Syariatullah, Allah mahukan kita cinta kepada-Nya dan mencintai makhluk hanya kerana-Nya. Allah mahukan kita tidak melebihkan sesuatu melebihi-Nya. Itu yang Allah mahukan dan itulah target hidup yang kita perjuangkan.
Sunnatullah, hukum alam pula menyaksikan manusia mudah lalai, mudah alpa, lupa dan lena. Lantaran itulah kita perlu sentiasa menghiasi diri dengan taubat, bermujahadah setiap masa sehingga tiba saat bertemu dengan-Nya. Sama-samalah kita mencontohi sensitifnya Rasulullah para sahabat menjaga cinta mereka. Hinggakan ada sahabat yang berasakan dirinya munafiq saat berada jauh dari Rasul tatkala leka bergurau senda dengan keluarga, padahal para sahabat bukanlah ahli dosa. Kita pula bagaimana? Pernahkah kita berasa hati kita sensitif untuk dalam memelihara iman kepada-Nya?
Bagaimana Mereka Menguruskan Cinta
Ya, ketertarikanmu pada si dia itu lumrah. Fitrah yang Allah hadirkan. Setiap fitrah ada peraturannya. Fitrah makanpun ada peraturan, inikan pula fitrah cinta?Oleh itu, wajarkah anda mencipta langkah seterusnya tanpa membelek sedikitpun peraturan yang telah Allah tetapkan?
Sanggupkah dirimu mencipta sebuah kenangan cinta tanpa perturan? Penuh maksiat hati.Menjalar pula pada maksiat perbuatan.
Remajaku sayang,
Bukan dirimu sahaja yang mengalami rasa cinta malah semua orang tak kan terkecuali termasuk para rasul, sahabat dan orang-orang soleh. Bezanya, bagaimana mereka menguruskan perasaan itu? Bagaimana pula kita menguruskannya?
Ibnul Qayyim menukil indah di dalam bukunya Raudhatul Muhibbin tentang kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra pada malam pertama. Fatimah, puteri Rasulullah si pengantin baru berkata kepada suaminya, Saidina Ali, “Kanda, dulu sebelum kita nikah, dinda teringin sangat nak jadi isteri seseorang. Dinda amat menganguminya.”Dengan penuh cemburu, Saidina Ali berkata, “Habis tu, dinda menyesal nikah dengan kanda?”Si isteri menjawab nakal dengan senyuman menghias bibir, “ Tak kandaku sayang, kerana orang itu adalah kanda.”
Kisah ini menjadi alah satu bukti jelas pada kita bahawa puteri Rasulullah sendiri pernah memendam perasaan cinta kepada Saidina Ali. Mengagumi, merindui dan memasang impian hidup bersamanya.
Namun, adakah si gadis beriman itu berani menghantar surat tanpa pengetahuan wali? Bersms melalui burung merpati? Mengatur ‘dating’ di belakang pohon kurma? Membonceng unta kekasihnya?
Begitu juga Saidina Ali, adakah dia melalaikan Fatimah dengan janji-janji kosong sebelum menikah? Adakah dia meminta-minta sesuatu daripada Fatimah dengan ayat ‘power’,
“Sayang tak percayakan abang?”
“Kalau sayang mana buktinya?”
Adakah dia meredah hak wali dengan terus mengorat gadis idamannya? Adakah dia terburu-buru merebut cinta Fatimah yang turut diimpikan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar dengan membawanya lari? Adakah dia meminang Fatimah ketika tidak membina kualiti diri?
Kita pula bagaimana menguruskan perasaan fitrah kita pada si dia? Adakah dengan jalan yang menghampiri fitnah atau dengan jalan yang menghampiri barakah?
bOX
LELAKI SOLEH PUN CEMBURU KERANA IA LUMRAH CINTA
1) Rasulullah mencemburui Mariah al-Qibtiyah
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah dari Yazid bin Abi Habib dari Abdur Rahman bin Syamasah al-Mahri dari Abdullah bin Umar, ketika Mariah al-Qibtiyah mengandungkan anak Rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat lelakinya daripada Mesir kerap datang menizarahinya. Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersamanya. Rasulullah berasa cemburu. Baginda keluar dengan rona wajah yang berubah. Di jalanan, baginda bertemu Umar. Umar perasan ada sesuatu yang Rasulullah pendam. Umar lantas bertanya keadaan baginda. Rasulullah menceritakan kecemburuannya terhadap kerabat Mariah. Umar lalu menghunus pedang lalu mencari lelaki itu. Dia mahu membunuhnya. Lelaki itu segera menyingkap keadaan zakarnya yang sudah dipotong. Umar tidak jadi membunuhnya. Dia menemui Rasulullah. Rasulullah berkata, “Jibril telah datang kepadaku dan membebaskan Mariah dan saudaranya daripada tuduhan yang terlintas pada diriku.” (Riwayat Bazzar).
2) Umar Cemburukan Isterinya Ke Masjid
Umar bin al-Khattab tidak kurang besar cemburunya. Pernah isterinya keluar untuk solat berjamaah di masjid. Dari riak wajahnya, isterinya tahu Umar tidak suka dan sedang cemburu. Lalu isterinya berkata. “Jika kanda melarang, dinda tak pergi.” Umar diam sahaja kerana ingat pesan Nabi, “Janganlah kalian melarang para wanita pergi ke masjid.” (HR Bukhari, Ahmad dan Abu Daud).
3) Cemburu Diambil kira Untuk Meringankan Hukuman
Pernah ada kes di zaman Umar, seorang lelaki membunuh isterinya dan seorang lelaki lain kerana melihat mereka sedang berzina. Sekelompok ahli fiqah berpendapat dan di antaranya Imam Ahmad bahawa jika seorang pemuda menemui lelaki lain sedang berzina dengan isterinya, lalu dia membunuh keduanya maka tiada qishas baginya, serta tiada wang diyat. Kecuali jika dia membunuh isterinya yang sedang diperkosa, maka perlu diqisas. Namun, ucapan suami semata-mata tidak boleh diterima kecuali dengan saksi oleh walinya dan bukti. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Ibnul Qayyim berkata, cemburu yang membuat pencinta menghukum kekasihnya dengan sangat berat begini adalah cemburu yang tidak terpuji.
4) Ibnu Umar Cemburu Mendengar Bicara Isterinya dengan Lelaki Kerabatnya
Hammad bin Zaid dari Ayyub dari Ibnu Abi Mulaikah menyebut bahawa Ibnu Umar mendengar isterinya berbicara dengan seorang lelaki dari balik tembok. Di antara mereka masih ada hubungan kekeluargaan. Namun Ibnu Umar tidak mengetahuinya. Lalu dia mengumpulkan pelepah kurma dan memukul isterinya hingga si isteri berteriak kesakitan.
5) Cemburu Muaz Bin Jabal Saat Makan Epal
Al-Kharaithi menyebut dari Muaz bin Jabal bahawa dia makan epal bersama isterinya. Lalu masuklah hambanya menemuinya. Kemudian si isteri memberikan epal yang telah dimakan sebahagian kepada hamba itu. Muaz rasa cemburu. Dia lalu memukul isterinya.
No comments:
Post a Comment