Thursday, August 25, 2011

Pesanan untuk yang kahwin muda atau kahwin tua


Merasa Enak Dengan Sebuah Kepahitan



20110826-091119.jpg























Ustaz, saya nak tanya satu perkara, boleh?” tanya Ahmad.

“Pernahkah tidak boleh?” saya menjawab dalam nada mengusik.

“Bagaimana jika kita berkahwin dengan seorang perempuan, tetapi perempuan itu memang ‘tak ngam’ dengan kita. Macam mana, ekk?” beliau melontarkan soalannya.

Wajahnya serius.

Benar-benar menantikan jawapan saya.

“Berat soalan anta, akhi. Berat!” saya membalas.

Kereta masih meluncur laju.

“Kita dah cuba macam-macam. Tapi memang tak ngam” tambah Ahmad lagi.

Hening petang itu meninggalkan kami dalam sepi.

Kereta berpusu-pusa mengejar pulang.
Kepala saya juga ligat berfikir.

Teringat tiga buku best seller yang sudah ditulis. Teringat kepada 1001 petikan kata di dalamnya. Seperti semua persoalan ada jawapan.

“Tidaklah begitu penting untuk kamu mengahwini perempuan yang kamu cintai. Apa yang lebih penting ialah mencintai perempuan yang kamu kahwini”

Oh, mahu sahaja saya jawab soalan Ahmad dengan kata-kata itu.

Namun entah mengapa, saya sendiri terasa seperti bukan itu jawapannya.

“Jika anta berada di dalam situasi itu, apakah yang mungkin anta lakukan?” saya bertanya.

Seperti seorang ‘coach’ yang menjawab soalan dengan soalan.

Saya tak tahu, ustaz. Sebab itu saya tanya ustaz” jawab anak muda itu.

Tenang.

Soalan-soalannya tentang rumahtangga dan perkahwinan sesekali menimbulkan rasa sayu di dalam hati saya. Alangkah bagusnya jika semasa saya di usia beliau, saya punya seseoang yang saya percayai untuk meminta nasihat dan panduan.

Tetapi saya sudah tidak punya bapa.

Ibu pula jauh di kampung halaman.

Abang-abang pun jauh semua.
Teman-teman pun dua kali lima sahaja ‘kebingungan’ mereka dengan saya. Malah selalunya topik kahwin-kahwin ini, akan berakhir dengan ketawa dan gurau senda.

Bagaimana saya masuk ke gerbang perkahwinan?

Apa bekalannya?

Adakah saya mengahwini perempuan yang ‘ngam dengan saya’?

“Akhi, pertamanya, kita sama-sama mengurangkan kebarangkalian soalan itu dengan segala pencegahan yang termampu. Sebelum berkahwin lagi. Soal latar belakang agama, pendidikan, keluarga, adat budaya, hatta fahaman politik, semua tu kena ambil kira semasa hendak membuat keputusan melamar” saya cuba berkongsi pendapat.

Ahmad tekun mendengar.

Biar pun rasa saya soalan ini bukanlah untuk praktikal segera.

Ahmad masih muda. Belum ada desakan besar untuk segera berumahtangga. Cuma dia rajin bertanya kepada saya soalan-soalan sebegini. Mungkin untuk dia membuat persiapan intelektual dan emosional tatkala menyambut fasa umur berumahtangga.

“Perempuan yang ngam itu jarang plug and play. Maksud ana, jarang yang sudah tersedia ngam dan boleh berkongsi bahagia” saya menyambung.

“Kitalah yang kena mengusahakannya. Usaha bukan sekali dua, setahun dua. Selagi masih bernyawa, dan usaha membabitkan carian manfaat tanpa cetusan mudarat, maka teruskan usaha” saya menambah.

“Tanpa cetusan mudarat?” Ahmad terkejut.

“Maksud ana, selagi belum membabitkan physical abuse, menyakiti anak-anak dan yang seumpama dengannya, maka usaha mesti berterusan. Andai sudah sampai kepada kemudaratan yang nyata maka barulah sampai ke peringkat dar’u al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih. Menolak kemudaratan adalah lebih penting daripada mendapatkan manfaat” saya cuba meredakan kusut fikiran Ahmad.

“Maknanya, jika gagal juga atau sudah masuk ke peringkat physical abuse, kita bercerai?” tanya Ahmad.

“Anta ni nak ana tulis buku Aku Ceraikan Dikau ke?” saya menyoal.

Kami ketawa.

“Talaq bukan maksiat. Ia dibenarkan oleh Islam sebagai jalan keluar. Hanya perlu beringat agar menggunakannya sebagai solusi akhir” saya menjawab soalan Ahmad itu tadi.

Beliau termenung.

Apabila tangan mula mendagu, tandanya dia sedang termenung jauh.

Apabila rumahtangga itu ibadah, tentu sahaja solat ada petunjuknya.

Semasa solat, khusyuk kita sering entah ke mana. Cinta kepada Allah lebih mudah menyebut daripada merasanya. Malah kita mungkin selesa berpura-pura kerana tidak dapat merasakan cinta kepada Allah itu terlalu buruk bunyinya.

Namun mengapa kita terus bersolat?

Mengapa diteruskan juga rutin yang hati kita tidak hadir itu?

Sepanjang hayat!

Kekuatan itu datang daripada sebuah SEPATUTNYA.

Bahawa itulah yang sepatutnya.

Cinta kepada Allah bukan mahu atau tidak mahu, ngam atau tidak ngam, ia adalah sebuah SEPATUTNYA yang paling besar dalam hidup ini.

Pinjamlah sedikit daripada kekuatan itu.

Sabar dalam mengendalikan perkahwinan, jika sudah kehabisan sebab untuk sabar, peganglah sabar yang terakhir itu.

Sabar Lillaah, sabar semata-mata kerana Allah.

“Selamat berfikir ya akhi. Perkahwinan itu enaknya bukan selalu dalam kemanisan. Sedap manis yang keterlaluan boleh memudaratkan. Kena imbangkan dengan enak daripada sebuah kepahitan. Belajarlah makan sayur sikit. Dalam sawi yang pahit itu ada kebaikan” saya bergurau.

“Apa kena mengenanya, ustaz?” tanya beliau.

Kebingungan.

“Keupayaan merasa enak dengan sebuah kepahitan, adalah petanda kita semakin matang. Sudah dewasa” saya membuat rumusan.

Ahmad termenung.

Selamat menuju dewasa, Ahmad dan rakan-rakannya.

Saya yang di sini, sentiasa ada dengan doa dan nasihat.

Semata-mata kerana Dia.

Kerana Allah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Friday, August 19, 2011

20...

Malam ini sudah masuk sepuluh akhir ramadhan...

Biar ramadhan ini memberi gagah

Biar ramadhan ini menguatkan fikrah

Biar ramadhan ini membuahkan tabah

Biar ramadhan ini mencerahkan tarbiyyah

Biar ramadhan ini merencanakan dakwah

Biar ramadhan ini menatijahkan taqwa...


P/S: Ramadhan semakin berlalu...Celakalah bagi mereka yang bila berlalunya ramadhan tapi dosa mereka tidak diampunkan...astaghfirullah..mari sama-sama mujahadah...biar ganjaran mardhotillah akan menghasilkan output yang mencerminkan peribadi seorang mukmin sebenar...ameen...

Tuesday, August 9, 2011

Istimewa Buat Nur Syahadahku...


Nur Syahadah

Album : 
Munsyid : Far East
http://liriknasyid.com


Tika terbuka hari 
Cahaya yang cerah 
Menerangi hatimu 
Mulus terbias di wajah 

Kau sambut dengan redha 
Hadirnya hidayah 
Nekad pendirian terungkai kalimah 
Nur Syahadah menyinar kalbu 
Murni seharum namamu 
Hadirnya dicelahan 
Kekalutan kalbumu itu 

Nur Syahadah telah tertulis 
Pada waktu dan juga takdir 
Di antara seribu engkau yang terpilih 

Sejernih embun pagi 
Sebersih dirimu 
Tanpa dicemari walaupun sebutir debu 
Kekallah oh dirimu di dalam rahmat-Nya 
Iringan doaku moga kau bahagia 

Akan ku bimbingmu 
Sekadar yang ku termampu 
Menyemai iman dan menuai takwa 
Biar tak bertemu di gerbang mahligai cinta 
Cukuplah sekadar teman yang biasa 

Nur Syahadah menyinar kalbu 
Murni seharum namamu 
Hadirnya dicelahan 
Kekalutan kalbumu itu 

Nur Syahadah telah tertulis 
Pada waktu dan juga takdir 
Di antara seribu engkau yang terpilih 

Bersatu Nur Syahadah di dalam syahdu 

Lagu : Naim_Fareast 
Lirik : ITO Lara 




Nur Syahadah ~ Far East




Di antara seribu yang aku pilih, Allah telah memilihmu...Ku doakan moga engkau menjadi insan paling bertuah dunia akhirat wahai insan pilihan Allah... Dengarkan laguku hadiah untukmu...=)

Saturday, August 6, 2011

Cinta 1, 2, 3, 4, 5.....

Apabila tiba masa menyendiri, terus datang hidayah untuk menulis. Bukan untuk sesiapa. Hanya untuk dia yang istimewa. Pemilik cintaku selepas Allah, Rasul, ayah dan mak. Sudah dua bulan lebih aku bergelar suami untukmu. Sudah dua bulan jugalah kita telah melalui pelbagai rencah dan kerenah yang semakin hari semakin mendewasakan kita. Setiap hari aku muhasabah. Adakah aku sudah menjadi seorang suami yang baik? Adakah setiap saat dan detik engkau berasa benar-benar bahagia di sisiku?Adakah aku sudah mencontohi akhlak junjungan Nabi dengan isteri baginda??

Ya Allah...Kadang-kadang aku terasa diri ini belum cukup layak untuk menjadi seorang pemimpin keluarga. Memimpin satu amanah yang besar, seorang insan bergelar isteri, kekasih hati, teman sehidup semati. Saat dirimu mengukir senyum, hatiku gembira, ku lukiskan senyuman buatmu. Senyuman yang kau katakan paling manis daripada insan yang 'garang' sepertiku. Ya! Kerana aku menyimpannya hanya buat insan istimewa sepertimu. Saat dirimu sedih, hatiku pedih. Ku cuba yang terdaya untuk membuatkan dirimu lega, walaupun kadang-kadang ia tidak memberi apa-apa makna pada dirimu. Saat dirimu terlantar sakit, ku luangkan masa menemanimu. Ku tak mampu membiarkan dirimu sendiri.

Hari-hari yang berlalu kita sibuk meneruskan kehidupan. Pastinya kadang-kadang aku terlupa memberikan dirimu perhatian yang secukupnya. Kau bersedih keseorangan. Tapi kau tetap dengan kesetiaanmu. Sesuatu yang sangat aku kagumi. Kau jarang memikirkan kepentingan diri. Selalu berkorban demi kebahagiaan suami. Dan sering juga aku salah memahami.

Apabila engkau terleka, aku terlalu cepat untuk menegur dirimu. Aku lupa yang engkau juga manusia biasa. Saat dirimu membuat perkara yang betul, aku terlupa untuk memuji. Mengapa diri ini begitu lemah dan tidak memahami hati seorang isteri yang hanya dambakan perhatian seorang suami. Terasa banyaknya dosaku padamu. Engkau terlalu mulia untuk insan hina seperti aku. Engkau menerima aku sepenuh rela walaupun fitnah orang padaku sentiasa menjadi buah mulut orang sekeliling. Engkau pasrah, engkau redha. Bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Wahai insan yang bergelar isteri,
Akan ku cintaimu sampai ke firdausi,
Jangan biarkan ia dinodai,
Oleh dunia yang selalu dengki.

Maafkan suamimu atas segalanya,
Aku belum mampu mencontohi kasih Rasullullah pada Aisyah,
Aku belum mampu meneladani kasih Ali pada Fatimah,
Namun takkan ku berhenti untuk menjadi temanmu yang sejati.

Buat isteriku yang tercinta, Rahmahtulnisah bt Shuhaimi,
Peganglah kata-kataku,
Ingatlah segala pesananku,
Mari kita bina Baitul Tarbiyyah bersama-sama
Mari kita bina generasi pembela agama
Mari kita hantar jundiy membebaskan Al-Aqsa
Agar pertemuan kita di sana,
Penuh dengan tawa gembira
Di dalam syurga Firdaus Al-A'la...



Aku mencintaimu kerana Allah.....