Merasa Enak Dengan Sebuah Kepahitan
“
Ustaz, saya nak tanya satu perkara, boleh?” tanya Ahmad.
“Pernahkah tidak boleh?” saya menjawab dalam nada mengusik.
“Bagaimana jika kita berkahwin dengan seorang perempuan, tetapi perempuan itu memang ‘tak ngam’ dengan kita. Macam mana, ekk?” beliau melontarkan soalannya.
Wajahnya serius.
Benar-benar menantikan jawapan saya.
“Berat soalan anta, akhi. Berat!” saya membalas.
Kereta masih meluncur laju.
“Kita dah cuba macam-macam. Tapi memang tak ngam” tambah Ahmad lagi.
Hening petang itu meninggalkan kami dalam sepi.
Kereta berpusu-pusa mengejar pulang.
Kepala saya juga ligat berfikir.
Teringat tiga buku best seller yang sudah ditulis. Teringat kepada 1001 petikan kata di dalamnya. Seperti semua persoalan ada jawapan.
“Tidaklah begitu penting untuk kamu mengahwini perempuan yang kamu cintai. Apa yang lebih penting ialah mencintai perempuan yang kamu kahwini”
Oh, mahu sahaja saya jawab soalan Ahmad dengan kata-kata itu.
Namun entah mengapa, saya sendiri terasa seperti bukan itu jawapannya.
“Jika anta berada di dalam situasi itu, apakah yang mungkin anta lakukan?” saya bertanya.
Seperti seorang ‘coach’ yang menjawab soalan dengan soalan.
Saya tak tahu, ustaz. Sebab itu saya tanya ustaz” jawab anak muda itu.
Tenang.
Soalan-soalannya tentang rumahtangga dan perkahwinan sesekali menimbulkan rasa sayu di dalam hati saya. Alangkah bagusnya jika semasa saya di usia beliau, saya punya seseoang yang saya percayai untuk meminta nasihat dan panduan.
Tetapi saya sudah tidak punya bapa.
Ibu pula jauh di kampung halaman.
Abang-abang pun jauh semua.
Teman-teman pun dua kali lima sahaja ‘kebingungan’ mereka dengan saya. Malah selalunya topik kahwin-kahwin ini, akan berakhir dengan ketawa dan gurau senda.
Bagaimana saya masuk ke gerbang perkahwinan?
Apa bekalannya?
Adakah saya mengahwini perempuan yang ‘ngam dengan saya’?
“Akhi, pertamanya, kita sama-sama mengurangkan kebarangkalian soalan itu dengan segala pencegahan yang termampu. Sebelum berkahwin lagi. Soal latar belakang agama, pendidikan, keluarga, adat budaya, hatta fahaman politik, semua tu kena ambil kira semasa hendak membuat keputusan melamar” saya cuba berkongsi pendapat.
Ahmad tekun mendengar.
Biar pun rasa saya soalan ini bukanlah untuk praktikal segera.
Ahmad masih muda. Belum ada desakan besar untuk segera berumahtangga. Cuma dia rajin bertanya kepada saya soalan-soalan sebegini. Mungkin untuk dia membuat persiapan intelektual dan emosional tatkala menyambut fasa umur berumahtangga.
“Perempuan yang ngam itu jarang plug and play. Maksud ana, jarang yang sudah tersedia ngam dan boleh berkongsi bahagia” saya menyambung.
“Kitalah yang kena mengusahakannya. Usaha bukan sekali dua, setahun dua. Selagi masih bernyawa, dan usaha membabitkan carian manfaat tanpa cetusan mudarat, maka teruskan usaha” saya menambah.
“Tanpa cetusan mudarat?” Ahmad terkejut.
“Maksud ana, selagi belum membabitkan physical abuse, menyakiti anak-anak dan yang seumpama dengannya, maka usaha mesti berterusan. Andai sudah sampai kepada kemudaratan yang nyata maka barulah sampai ke peringkat dar’u al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih. Menolak kemudaratan adalah lebih penting daripada mendapatkan manfaat” saya cuba meredakan kusut fikiran Ahmad.
“Maknanya, jika gagal juga atau sudah masuk ke peringkat physical abuse, kita bercerai?” tanya Ahmad.
“Anta ni nak ana tulis buku Aku Ceraikan Dikau ke?” saya menyoal.
Kami ketawa.
“Talaq bukan maksiat. Ia dibenarkan oleh Islam sebagai jalan keluar. Hanya perlu beringat agar menggunakannya sebagai solusi akhir” saya menjawab soalan Ahmad itu tadi.
Beliau termenung.
Apabila tangan mula mendagu, tandanya dia sedang termenung jauh.
Apabila rumahtangga itu ibadah, tentu sahaja solat ada petunjuknya.
Semasa solat, khusyuk kita sering entah ke mana. Cinta kepada Allah lebih mudah menyebut daripada merasanya. Malah kita mungkin selesa berpura-pura kerana tidak dapat merasakan cinta kepada Allah itu terlalu buruk bunyinya.
Namun mengapa kita terus bersolat?
Mengapa diteruskan juga rutin yang hati kita tidak hadir itu?
Sepanjang hayat!
Kekuatan itu datang daripada sebuah SEPATUTNYA.
Bahawa itulah yang sepatutnya.
Cinta kepada Allah bukan mahu atau tidak mahu, ngam atau tidak ngam, ia adalah sebuah SEPATUTNYA yang paling besar dalam hidup ini.
Pinjamlah sedikit daripada kekuatan itu.
Sabar dalam mengendalikan perkahwinan, jika sudah kehabisan sebab untuk sabar, peganglah sabar yang terakhir itu.
Sabar Lillaah, sabar semata-mata kerana Allah.
“Selamat berfikir ya akhi. Perkahwinan itu enaknya bukan selalu dalam kemanisan. Sedap manis yang keterlaluan boleh memudaratkan. Kena imbangkan dengan enak daripada sebuah kepahitan. Belajarlah makan sayur sikit. Dalam sawi yang pahit itu ada kebaikan” saya bergurau.
“Apa kena mengenanya, ustaz?” tanya beliau.
Kebingungan.
“Keupayaan merasa enak dengan sebuah kepahitan, adalah petanda kita semakin matang. Sudah dewasa” saya membuat rumusan.
Ahmad termenung.
Selamat menuju dewasa, Ahmad dan rakan-rakannya.
Saya yang di sini, sentiasa ada dengan doa dan nasihat.
Semata-mata kerana Dia.
Kerana Allah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BSP
like!
ReplyDeleteain~