Alhamdulillah setinggi-tinggi pujian dirafa'kan ke hadrat Allah Rabbul Jalil atas limpah hidayah dan taufiqNya diberi peluang dan semangat untuk berkongsi sesuatu di sini setelah sekian lama kekeringan idea dan ruh. Mungkin kerana dosa-dosa yang terus menerus menghijab hati. Ya Allah sucikanlah hati ini sebagaimana bersihnya hati seorang bayi yang baru dilahirkan...Ameen.
Hidup saya sebagai seorang pelajar tetap diteruskan. Namun tidak pernah lupa pada tanggungjawab agung sebagai seorang daie sepenuh masa untuk menyambung kerja para anbiya' menyebarkan Islam ke pelusuk dunia. Teringat kata-kata agung Al-Banna apabila beliau menyebut "Akan aku sampaikan dakwah hingga kepada janin dalam perut ibu". Subhanallah! Hebatnya pemuda tarbiyah.
Alhamdulillah akhirnya "setting teeth" untuk partial denture akhirnya dah dinilai dan diberi markah. Selesai satu beban rasanya. Boleh fokus pada belajar dan benda lain pula. Namun tidak dapat dinafikan perkara kecil sebegini mampu mempengaruhi jiwa dan semangat sesiapa sahaja. Lihatlah pada wajah pelajar-pelajar Kuliyyah Pergigian. Penuh dengan stres dan tension. Allah bahagiakanlah dan tenangkanlah jiwa kami. Cuma apa yang boleh saya simpulkan terutamanya kita sebagai seorang daie haruslah kita pandai untuk membahagikan dan menguruskan masa. Benarlah "Al-waajibat aksaru minal auqat". Tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa yang ada. Maka susunlah masa dan kerja kita sebaik mungkin. Hanya mereka yang sibuk dan sistematik sahaja mempunyai banyak masa. Jangan biarkan masa berlalu tanpa sebarang perkara yang bermanfaat.
Dalam kesibukan kita dengan tanggungjawab, janganlah kita lupa tanggungjawab kita dengan diri kita. Tanggungjawab kita dengan Allah. Jangan sesekali dilalaikan amalan fardi kita. Jangan cuaikan masa kita untuk Allah dengan alasan kesibukan dunia. Luangkanlah masamu untuk solat jemaah. Peruntukkan masa untuk mengalunkan alunan suci Al-Quran yang menghilangkan karat hati. Curilah masa untuk berzikir ma'surat. Kuatkanlah hatimu untuk bermunajat dan menagih cinta agung di waktu hening malam. Biarlah hatimu basah dengan amal. Jangan biarkan ia kering. Jangan biarkan ia tandus. Jangan biarkan hatimu menangis kekurangan iman. Ingatlah dirimu adalah pemuda tarbiyah. Pelajaran dan perkara lagho bukan lagi alasan untuk kita seperti orang kebanyakan. Tarbiyahlah dirimu untuk menjadi pemuda agung!
Alhamdulillah dalam kesibukan masa yang tidak menentu, Allah berikan saya peluang untuk mengajar. Mengajar Al-Quran di rumah-rumah pada waktu malam. Ramai yang bertanya "Tak letih ke mengajar? Pagi pergi kelas. Malam mengajar lagi. Bila masa nak study?" Jawapan saya mudah. Saya bukan seperti anda. Saya tidak mempunyai facebook untuk di"check" dan update status tiap-tiap hari. Saya tiada internet yang laju untuk download movies apatah lagi untuk menontonnya. TV Haier yang saya beli untuk temani saya ketika tinggal di Pejabat PEMBINA sebelum ini pun hanya jarang-jarang saya buka. Itupun sekadar nak lepaskan penat. Saya tiada peluang untuk melepak-lepak membuang masa di kedai-kedai makan. Kalau ada pun, saya mahu gunakan masa makan yang ada itu sebaiknya untuk DAKWAH FARDIYYAH. Baru tak terasa rugi keluar makan. Saya tidak mahu menjadi manusia biasa. Saya yakin yang saya dilahirkan bukan untuk menjadi manusia biasa. Umur saya sudah mencecah 21 tahun 3 bulan. Dan saya tidak punya masa yang banyak untuk dibuang. Penggunaan masa harus dioptimumkan. Kalau nak study, carilah masa yang lapang selepas mengajar. Pukul 11 malam ke atas. Insya allah boleh. Tapi jangan lupa untuk doa dan solat hajat. Itulah sumber kekuatan dan kejayaan. =) Ya Allah kurniakanlah kami keberkatan masa. Bantulah kami dalam pelajaran kami. Jangan biarkan pelajaran kami menjadi fitnah kepada kerja dakwah menyebarkan agamaMu.
Akhirul kalam, muhasabahlah diri kita selalu. Sejauh mana iman kita menempuhi hari-hari yang berlalu. Tetapkan hati dan semangat. Jangan mudah gugur. Jangan cepat futur. Ujian pasti datang untuk menilai iman dan kesabaran. Bersedialah selalu!Buat sahabat-sahabat yang sudah dan akan menduduki peperiksaan, maat taufiqi wannajah saya ucapkan. Moga kejayaan akan buat antum lebih bersyukur. Andai Allah taqdirkan kegagalan, serahkan segalanya pada Allah. Dialah tempat mengadu segala-galanya. Mintalah dikurniakan kesabaran kerana Dialah Yang Maha Mencipta Sifat Sabar. Maka siapa lagi yang lebih layak untuk meminta kesabaran selain daripadaNya..
"Dakwah tidak perlu susah-susah. Bismillah jalan!"
thanks for this motivating post... :)
ReplyDelete"ya Allah,kurniakan kami keberkatan masa.."
ReplyDelete