Saya banyak hidup dengan orang yang jauh lebih tua usianya daripada saya. Hidup saya jarang diluangkan untuk yang lebih muda dan sama umur, kecuali selepas saya masuk ke universiti. Dahulu, dalam usaha saya untuk meningkatkan diri, memang sudah disematkan ke dalam hati bahawa menyedut ilmu daripada veteran dalam kehidupan adalah prioriti.
Maka saya bertemu dengan ramai veteran. Hingga hari ini, saya terus sahaja berurusan dengan pelbagai jenis veteran.
Dan veteran di dalam kehidupan ini ada pelbagai jenis.
Ada yang menyenangkan hati. Ada juga yang membuatkan hati terluka sendiri.
Budak, dan orang tua
Satu perkara apabila seorang muda berurusan dengan yang jauh lebih tua daripadanya, adalah kebiasaan dipandang rendah.
Saya merasainya dalam bilangan yang tidak terbilang. Mereka biasanya berfikir bahawa kita tidak tahu apa-apa, kita masih budak, dan budak tak boleh campur atau menegur urusan orang-orang tua.
Budak adalah untuk dikerah. Budak bukan untuk memberikan pandangan. Teguran seorang budak adalah termasuk di dalam pelanggaran etika, dan akan dilabelkan sebagai biadap dan kurang ajar. Apatah lagi apabila teguran itu menyentuh kredibiliti orang-orang tua.
Saya banyak kali merasai perkara ini.
Dan label kurang ajar+biadap itu entah sudah berapa kali dicopkan pada dahi saya.
Tetapi berbezanya layanan mereka terhadap kita
Orang-orang veteran yang sebegitu, akan sering melaungkan perihal ‘hormat’, ‘beradab’, ‘berhikmah’ dan lain-lain. Semuanya untuk menjustifikasikan label ‘kurang ajar+biadap’ yang dicopkan ke atas dahi anak muda.
Tetapi bila dilihat pula kepada diri mereka, mereka tidak menghormati kita sebagai manusia. Sebagai orang yang memberikan pandangan. Sebagai orang yang memberikan teguran.
Mereka tidak pula berhikmah. Oleh kerana mereka orang tua, mereka dengan senangnya tidak menjaga hati dan perasaan. Terus-terus sahaja melanyak peribadi orang muda, kononnya ‘untuk mengajar’.
Dan apabila hormat dan hikmah tiada, masuklah orang-orang tua itu dari kalangan mereka yang tiada adab. Bila berjanji mungkir, bila bersalah tidak meminta maaf, bila silap tidak mahu memperbaiki kesilapan. Sebab? Sebab mereka orang tua. Mengapa perlu tunduk memohon maaf kepada yang muda?
Berlainan apabila kesilapan di pihak orang muda. Orang muda akan dihentam. Ditegur dengan keras. Dikatakan itu dan ini. Disuruh memperbaiki kesilapan. Disuruh meminta maaf dengan kemas. Bila mereka silap, mereka tidak perlu memberikan penjelasan kepada kita, tetapi apabila orang muda silap, kita disuruh menjelaskan apa yang kita lakukan agar lebih tampak kesilapan kita. Bila orang muda silap, tidak cukup dengan meminta maaf, diminta menebus kesilapan itu, tetapi apabila mereka melakukan kesilapan, minta maaf sahaja sudah memadainya. Begitulah, dan sebagainya.
Bukankah orang-orang tua sebegitu adalah orang-orang tua yang hipokrit?
Dan keburukan mereka, bukan sekadar kehipokritan mereka sahaja.
Bahkan membawa kepada sesuatu yang lebih besar.
Melahirkan generasi yang rosak, dan gerak kerja yang merosakkan
Sikap yang sedemikian tadi, saya lihat, melahirkan generasi muda yang rosak. Melahirkan generasi pengganti yang lemah.
Manakan tidak. Yang lahir hanyalah pak angguk dan pak turut sahaja. Takut memberikan idea baru kerana di’doktrin’ oleh sikap orang-orang tua. Dilatih patuh buta. Dididik bahawa, masa mereka belum tiba. Dibasuh bahawa mereka ini tidak berkebolehan. Generasi ini nanti adalah generasi ‘inferior’ kerana pandangan mereka sering tidak diberikan perhatian, dan tidak menerima keadilan yang baik. Lebih buruk, anak-anak muda ini akan membesar, dan sekadar mengulang kesilapan yang sama yang dilakukan oleh orang-orang tua mereka.
` Gerak kerja yang dilakukan juga adalah gerak kerja yang merosakkan. Hal ini kerana, gerak kerja itu tidak mendapat pandangan lain selain pandangan orang-orang tua. Skop pandangan yang sama. Idea yang sama. Berputar-putar di medan pemikiran yang sama. Orang-orang tua yang tidak belajar mengambil teguran yang muda, yang tidak belajar berkerjasama dengan mereka, yang tidak belajar mendalami idea mereka, akan kekal mengulang kesilapan mereka berulang kali, serta kekal statik dengan idea lama. Pembaharuan yang sepatutnya tidak berlaku, dan satu antara dua akan terjadi. Itulah dia kekal statik, atau merudum jatuh. Naik? Tidak sama sekali.
Maka apakah kebaikannya?
Oh, ada. Kredibiliti orang-orang tua itu terjaga. Kekal dilihat tinggi.
Dan anak-anak muda akan menjadi ‘patuh, taat dan setia’.
Tetapi saya bertemu juga dengan veteran yang menyenangkan
Tidak dinafikan, saya bertemu juga dengan veteran-veteran yang menyenangkan. Walaupun mungkin bilangan mereka sangat sedikit.
Mereka akan mengambil masa, mendengar apa yang dibicarakan oleh orang muda. Sehingga habis. Mereka tidak akan memotong bicara orang muda. Kemudian mereka akan berbincang bersama-sama dengan orang muda itu, berkenaan pro dan kontra pandangan yang diberikan. Kemudian bersama-sama orang muda tadi itu juga, mereka akan sepakat mencapai satu persetujuan.
Mereka betah ditegur. Walau dalam keadaan apa jua. Dalam keadaan kurang ajar, apatah lagi berhikmah. Tinggal apabila ditegur secara biadap, mereka akan pergi kepada orang muda itu di belakang khalayak ramai, dan menegur akan ‘cara teguran’ yang tidak sesuai. Tetapi salah cara teguran orang muda itu, tidak akan sesekali dinafikan kebenaran tegurannya, sekiranya benar. Sekiranya teguran itu salah, akan diperjelaskan kesalahannya dengan baik agar orang muda itu memahami.
Bahkan mereka ini, tanpa dipinta, akan mengajak orang-orang muda duduk bersama berbincang dengan mereka. Juga mereka akan meminta pandangan-pandangan orang muda, untuk dibandingkan dengan pandangan mereka bagi mendapat satu pandangan yang terbaik.
Mereka adalah yang tidak segan mengaku kesalahan, dan memperbaiki pula kesalahan mereka. Mereka tidak akan membenarkan pandangan mereka semata-mata mereka orang yang jauh lebih tua.
Dalam perjalanan hidup saya, saya diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dengan orang-orang tua sebegini, duduk dengan mereka, hidup dengan mereka, dan membesar di bawah jagaan mereka.
Apa agaknya kesan apabila duduk di bawah didikan mereka?
Peningkatan. Tiada bicara yang lebih baik.
Peningkatan. Memang tiada bicara lain yang mampu menggantikan.
Anak muda belajar. Oh beginilah bila berurusan. Oh pandangan aku ni kena touch up sikit rupanya. Oh, begini rupanya pandangan yang betul. Oh, dalam hal ini kena begini. Oh, yang ni dah betul dah.
Secara tidak langsung anak-anak muda mejadi berani. Mereka juga tidak takut memikirkan idea-idea baru. Apatah lagi dengan kaedah-kaedah yang dipelajari daripada orang-orang tua tadi.
Sedikit demi sedikit mereka terbentuk menjadi pemimpin, pengganti yang lebih baik kepada orang-orang tua tadi.
Orang-orang tua yang memimpin juga jadi lebih terkehadapan. Idea-idea mereka sering up to date dengan keadaan. Sentiasa segar dengan idea-idea baru. Mereka juga tidak akan mengulang kesilapan yang sama, kerana ada daripada generasi lain yang menegur mereka. Dan mereka menjadi kuat kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pemuda.
Kebaikan apakah yang lebih baik?
Penutup: Jika anak muda perlu belajar, orang tua juga sama
Ini adalah pandangan saya.
Sekiranya anak muda perlu menghormati, orang tua juga sama. Jika anak muda perlu beradab, orang tua juga sama. Jika anak muda perlu berhikmah, orang tua juga sama.
Tambahan, anak muda itu membesarnya mengikuti contoh siapa? Orang tua bukan?
Saya dididik oleh orang tua untuk sentiasa punya kerendahan hati, sentiasa berhikmah, sentiasa beradab, sentiasa berani mengaku salah bila salah, sentiasa berusaha menebus kesilapan. Maka saya amat terluka dengan orang-orang tua yang tidak sedemikian.
Apakah kerana kita orang tua, maka kita boleh berbuat sesuka rasa?
Apakah kerana kita orang tua, maka pandangan kita benar sentiasa?
Sedangkan, untuk melahirkan satu ummah yang kuat, satu organisasi yang kuat, satu gerak kerja yang kuat, asimilasi antara orang tua dan orang muda adalah sangat diperlukan.
Maka bagaimana?
Ini adalah pandangan saya.
No comments:
Post a Comment