Ada ke Islam lain?
Ada. Islam yang dibina atas hawa nafsu manusia. Pendek kata, semestinya Islam itu bukan Islam yang sebenarnya. Dan kesimpulan, Islam itu adalah Islam yang tertolak daripada Islam yang sebenar.
Namun, produknya dinamakan Islam juga, kerana untuk meng’halal’kannya.
Pelbagai taktik boleh wujud dalam hal ini. Antaranya, campur sesuatu daripada Islam, dengan yang bukan daripada Islam, dan dikatakan itulah Islam, berdasarkan sebahagian daripada Islam yang wujud di dalam perkara itu.
Lebih buruk, Islam warna lain ini dipromosikan.
Seakan-akan itulah dia Islam yang sebenar.
Mesti kembali kepada keaslian.
Pegangan kita hanya bersih apabila kita berpegang kepada Islam yang asli. Yakni kita meletakkan kembali Allah di tempatNya yang sebenar dalam kehidupan manusia - sebagai ILAH dan RABB. Kembali kepada Islam yang asli ini adalah dengan mengangkat kembali Al-Quran dan As-Sunnah sebagai masdar(perlembagaan) dalam kehidupan kita.
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa yang dipilih) dari kalangan kamu(orang yang beriman). Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” Surah An-Nisa’ ayat 59.
Kita tidak mencampur-campurkannya dengan anasir jahiliyyah yang merosakkan kesihatan rohani dan fizikal kita. Pendek kata, tidak ada percampuran dengan apa sahaja larangan Allah SWT di dalamnya.
Islam yang berwarna lain itu
Islam yang berwarna lain itu adalah yang terkeluar daripada keaslian ini. Bukanlah ini bermakna Islam melarang kreativiti atau jumud. Tetapi kreativiti sepatutnya punya limitasi. Sekiranya tidak dikawal, maka ia akan terkeluar daripada kebaikan.
Contoh, penutupan aurat. Hari ini kita lihat, bagaimana dunia mempromosikan Islam berwarna lain ini dalam hal penutupan aurat. Islam mengarahkan agar aurat dijaga sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh. Tetapi kita dapat lihat bagaimana hari ini ada yang mempromosi tudung, bersama pakaian ketat, kemudian dikatakan itu fesyen Islam terkini.
Saya ada terjumpa dalam satu majalah komik yang popular di Malaysia ini. Ada salah satu ahli kelabnya menghantar gambar pada majalah itu. Perempuan. Dia memakai tudung, kemudian berbaju ketat menampakkan bentuk tubuh. Apakah komentar majalah itu?
“ya, inilah dia muslimah era terkini. Fesyen Islam yang rugged. Tahniah!”
Ya. Begitulah kekeliruannya.
Contoh, dipromosi menyatakan konsert amal. Tetapi di dalam konsert itu penuh dengan maksiat dan pengingkaran kepada Allah SWT.
Contoh, Islam hanya diambilnya separuh-separuh pada bahagian yang disukainya sahaja, tetapi dinamakan keseluruhannya sebagai Islam hanyaberdalilkan separuh yang diambilnya itu.
Contoh, program Hari Raya Adilfitri, meraikan kemenangan Ramadhan katanya, tetapi penuh dengan kemungkaran kepada Allah SWT.
Kita dapat lihat banyak lagi contoh di sekeliling kita, yang mana hakikatnya jahiliyyah, tetapi di’salut’ dengan nama Islam di luarnya.
Dan ini berjalan kemas dalam masyarakat kita.
Menimbulkan kekeliruan. Seakan-akan itulah dia Islam. Itulah dia Islam.
Itulah dia Islam.
Seakan-akan, begitu. Tidakkah kita melihat kerosakannya kepada keimanan?
Alah, biarlah.
Ya. Akan ada orang berkata, mengapa ingin sibuk dengan semua ini? Mengapa ingin peduli?
Sepatutnya kita sebagai orang beriman peduli. Hal ini kerana, ini adalah pertempuran kita dengan jahiliyyah yang berusaha menarik kita keluar daripada jalan Allah SWT.
Dan mari saya berikan satu analogi mengapa perkara ini penting.
Saya berikan beberapa gambar rajah di sini.
Itulah dia. Kita tidak akan pergi ke tempat yang sama, dengan mengambil ‘lencongan’ walaupun sedikit. Apatah lagi jika banyak.
Sebab itu, kita tidak boleh memandang enteng dengan ‘pengkhianatan’ yang berlaku, menjaja nama Islam, sedangkan yang berada di dalamnya adalah sesuatu yang lain.
Apa-apa sahaja yang terkeluar daripada apa yang Allah redhai, apakah itu layak dinyatakan sebagai Islam?
Di dalam hal ini, kita boleh rujuk semula 20 perkara yang membatalkan syahadah karangan Sheikh Sayyid Hawwa.
Dan bayangkan, hal ini tersebar luas di dalam kehidupan masyarakat kita. Ke manakah akhirnya? Semestinya tidak membawa pengakhiran yang baik. Akhirnya, Islam yang sebenar, dengan Islam yang telah di’celup’ dengan warna lain itu tidak lagi mampu dibezakan generasi seterusnya.
Sebagaimana jahiliyyah yang kita telah pandang biasa.
Maka bagaimanakah masyarakat saat itu?
Pasti hancur jawapannya.
Penutup: Hari ini, Islam kita Islam apa?
Kadangkala, kita lebih senang tidak merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kita lebih senang tidak memandang pandangan ulama’ Islam yang ditsiqahi ummah. Tetapi kita lebih cenderung mencari jawapan mengikut hawa nafsu kita.Hawa nafsu kita jadikan tuhan kita tanpa sedar.
Apabila ijma’ ulama’ sudah sepakat menyatakan rokok itu haram, kita masih lagi mahu mencari satu ulama’ yang kata makruh,kemudian kita berpegang dengannya, tanpa mengira dalilnya kuat atau tidak. Apabila seluruh ulama’ bersetuju menyatakan Solat Jumaat adalah wajib, rambut wanita adalah aurat, kita masih berusaha mencari sekurang-kurangnya satu ulama’ yang menyatakan itu semua sebaliknya, tanpa mengira apakah dalil yang diguna, apakah hujah yang dipakai. Kemudian kita seronok berkata: “Ulama seorang tu kata boleh.”
Itulah kita. Hawa nafsu yang memandu. Bukan keimanan.
Kita persoalkan semula.
Hari ini, Islam kita Islam apa?
Sistem hari ini yang kita guna pakai untuk hidup, sistem apa?
Sehari-hari kita jalani kehidupan, berpandukan apa?
Rujukan kita dalam beramal, berpakaian, memerintah, apa?
Persoalkan.
Moga-moga kita bukan termasuk dalam Islam yang berwarna lain itu.
No comments:
Post a Comment