Thursday, January 28, 2010

Apa erti usrah di hati kita??






Muhasabah untuk kita ikhwah...

DARIHAL USRAH
oleh Hassan al-Banna

Tulisan ini berupa ringkasan dan pentafsiran terhadap kandungan utama risalah Usrah dan Dakwah oleh al-Imam Hassan al-Banna terbitan Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1993. Menurut penerbit, risalah itu berupa petikan daripada karangan Hassan al-Banna yang bertajuk "Nizamul Amru Wa Risalatutta' aim". Penyunting berusaha mengekalkan struktur penulisan (terjemahan) asal. Bahagian lain tulisan ini ialah lapan tindakan.

MAKSUD USRAH

Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwah antara sesama ahli boleh ditingkatkan, iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu, kita hendaklah memandang berat perkara ini dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

RUKUN USRAH

Rukun ikatan usrah ini tiga perkara iaitu berkenalan, bersefahaman, dan berimbangan. Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

1.  Berkenalan (Ta ‘aruf)

Rukun usrah yang pertama ialah taaruf (berkenalan) antara satu sama lain. Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.
Antara firman Allah dan hadis ialah: Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10) Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali Imran, 3:103) Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain. (Hadis riwayat ….) Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya. (Hadis riwayat ….) Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksana badan yang satu. (Hadis riwayat ….)

2.  Bersefahaman (Tafahum)

Rukun usrah yang kedua ialah tafahum (bersefahaman) . Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang-Nya. Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.
Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat daripada sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu--walau sejarak sehelai rambut sekali pun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Sembunyikan kesilapan sahabat itu daripada pengetahuan naqib selama lebih kurang sebulan. Ceritakanlah kepada naqib apabila anda tidak berdaya membaikinya. Namun demikian, jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya, teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendaki- Nya.
Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah keras kepala. Janganlah juga berubah hati walau sejarak rambut sekalipun terhadap si pemberi nasihat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), "Agama itu adalah nasihat." Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini--mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

3.  Berimbangan (Takaful)
Rukun usrah yang ketiga ialah takaful yang bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.
Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya), "Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baginya daripada ia beriktikaf sebulan di masjidku ini. (Hadis riwayat ….) Sabda baginda lagi (maksudnya), "Sesiapa memberikan kesukaan kepada keluarga sesebuah rumah orang muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan dengan syurga.." (Hadis riwayat …)

Peringatan
Dua perkara yang perlu dititikberatkan ialah kehadiran dan pengisian tabung usrah. Setiap anggota usrah hendaklah menghadiri pertemuan yang telah dijadualkan walau bagaimana uzur sekalipun. Setiap anggota usrah juga hendaklah menunaikan kewajipannya untuk tabung usrah di cawangan usrahnya. Apabila kita dapat menunaikan kewajipan yang bersifat perseorangan, kemasyarakatan, dan kewangan seperti di atas, maka rukun usrah akan terlaksana dengan jayanya. Sebaliknya, jika dicuaikan, maka segala rukun dan peraturan itu akan beransur-ansur mundur dan akhirnya terus mati. Dengan matinya peraturan usrah yang baik ini, gerakan dakwah akan serugi-ruginya sedangkan gerakan dakwah sangat dikehendaki dan menjadi tempat harapan bagi umat Islam seluruhnya.

KANDUNGAN USRAH
Apakah yang perlu dilakukan dalam pertemuan mingguan usrah yang menepati maksud, rukun dan peringatan di atas? Jawapannya mudah: kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit. Oleh itu pertemuan mingguan kita hendaklah dipenuhkan dengan perkara-perkara yang berikut:



a.  Membentangkan Kesulitan
Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Beri perhatian terhadap kesulitan yang diluahkan oleh rakan kita dan berusahalah mengatasinya. Lakukan hal ini dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuat lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuh.

b.  Bermuzakarah

Anggota usrah hendaklah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Teliti risalah yang diedarkan oleh pucuk pimpinan kepada seluruh cawangan usrah. Elakkan pertengkaran atau bertikam lidah kerana semuanya itu dikira "haram" menurut undang-undang usrah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu. Apabila hendak ditutup satu-satu perbincangan, atau hendak dibuat keputusan mengenai apa-apa cadangan, atau hendak diberi penjelasan lanjut mengenai cadangan yang hendak ditimbangkan itu, maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada naqib supaya beliau sempat terlebih dahulu mengemukakannya kepada pucuk pimpinan.
Jangan dibuat keputusan dengan cara terburu-buru. Tuhan mencela umat manusia yang bersikap terburu-buru dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan maka mereka pun terus mencanangkannya. (Surah …..) Setelah Allah S.W.T. mencela mereka yang berperangai begitu maka Tuhan tunjukkan pula apa-apa yang semestinya dilakukan apabila tersua dengan suasana seperti itu dengan firman-Nya yang bermaksud: Kalaulah mereka kembalikannya kepada Rasul dan kepada pihak berkuasa antara mereka sendiri nescaya orang-orang yang menimbangkannya itu mengetahui hakikatnya. (Surah ….)

c.  Kajian Buku
Adakan penelitian terhadap sesebuah kitab yang bermutu. Jelmakan penelitian itu dalam kehidupan harian walaupun hanya sekadar mengamalkan bermuka manis. Panduan daripada buku boleh disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki. Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipatgandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

d.  Aktiviti Sokongan
Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, kita hendaklah mengadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Kita hendaklah juga mengadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

ENAM PEGANGAN
Landasan

Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan risalah Allah, serta mereka takut melanggar perintah-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung (akan segala apa yang dilakukan oleh makhluk-makhluk untuk membalasnya. ) (Al-Ahzab, 27:39) Lihat juga As-Saba, 34:46-50.


a.  Agama hanya dapat dirasakan oleh sesiapa yang menegakkannya dalam dirinya.
b.  Bahagia dan saadah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.
c.  Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.
d.  Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
e.  Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan perjuangan.
f.  Belajar memanfaatkan diri demi kepentingan cita dan agama.

SEPULUH WASIAT

1. Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun.
2. Bacalah al-Qur'an, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara-perkara yang baik, amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.
3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.
4. Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat dan mengecam orang, dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap ikhwan muslimin yang ditemui walaupun dia tidak meminta saudara berkenalan dengannya … asas gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.
10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri, ringkaskanlah pelaksanaannya.



--
pembinapahang.blogspot.com
pembina.com.my

No comments:

Post a Comment