Cerpen Agoni. Cerpen yang baru direka sebentar tadi. Denga selambanya saya memelayukan peerkataan Agony kepada Agoni. Agoni bermaksud kesakitan. Cerita ini berkenaan hubungan anak dengan ibu bapa.
Tiba-tiba dapat idea plak.
Cerita ini tiada kena mengena dengan hidup dan mati.
Enjoy it.
Gelap. Sepi. Sunyi. Sejuk.
Aku kembali pada situasi ini. Apakah hidupku tidak berjumpa dengan perubahan yang kucari?
Adakah memang aku ditakdirkan untuk hidup dalam kepahitan, dan pergi dalam agoni yang menyeksakan?
Aku rasa lemah. Langsung tidak berdaya.
Entah kenapa, mataku rasa hangat.
Ya Tuhan…
Ya Allah…
Kegelapan ini seakan jutaan jarum yang mencucuk jiwaku.
Kenapa aku kembali di sini?
Apakah memang pergiku dalam agoni?
*****
Dadaku berdegup kencang. Hatiku sangat panas. Dia yang berada di hadapanku, terpanah dengan pandangan tajam mataku. Kolar bajunya kupegang kuat.
“Kau cakap sekali lagi apa aku cakap tadi?” Suaraku bergetar bersama marah.
“Siapa yang nak jadi samseng kat rumah ni hah?” Satu suara kedengaran memetir dari tingkat dua. Suara ummi.
“Lepas bodoh” Dia di hadapanku tersengih.
Aku mendengus. Melepaskan dia untuk bangun. Dia terus naik ke tingkat dua. Aku memandang sahaja. Penuh kesakitan. Selepas ini, aku tahu apa nasib aku.
“Awak ni nak jadi apa hah? Samseng? Kenapa buat adik begitu?” Ummiku memandangku garang.
“Dia mulakan dulu. Dia kata Emrul mencarut.” Aku menunjuk kepada adikku tadi. Emri. Dia buat bodoh sahaja. Seakan-akan akulah penjenayah yang sebenar.
“Ummi kecewa tau dengan awak.” Terus dilancarkan kata-kata menusuk itu.
Mataku membesar. Terus aku masuk bilik tanpa banyak bicara. Tidak lama kemudian, abah pulang ke rumah. Aku dapat mendengar suara ummi meninggi menyatakan ketidak puas hatiannya terhadap aku. Betapa aku dianggapnya kasar, kurang ajar, tidak beradab dan pelbagai lagi cemuhan negatif.
“Ni, abah nak tanya. Awak buat apa tadi? Ummi sampai kata nak halau awak keluar?” Abah bertanya dengan nada dingin. Wajahnya mencuka. Dia juga tidak menyebelahi aku.
Sampai nak halau keluar? Begitu kah?
Aku diam.
Aku diam dan terus diam.
Abah keluar dari bilikku. Aku menutup pintu. Segera aku buka tabungku. Aku mengeluh. Satu perkara yang aku benci pada diri aku adalah, aku tidak banyak wang. Jika tidak, aku benar-benar melarikan diri dari rumah.
Aku duduk di atas katil, bersandar pada dinding. Memeluk lutut. Meletakkan dagu di atasnya. Mata kututup. Dadaku berdegup kencang. Marah, benci, sedih, sakit hati, tekanan, semuanya wujud. Dadaku semakin sakit. Tak tertanggung.
Sakit.
Air mata mengalir.
Ini bukan kali pertama. Bukan juga kali kedua. Sudah entah kali ke berapa. Aku diperlakukan begini oleh kedua ummi dan abahku. Majoritinya adalah berpunca dari sikap Emri yang suka membangkitkan kemarahanku. Aku yang memang sukar mengawal emosi, menjadi mangsanya yang batu api. Akhirnya, aku sering terjerat dengan diri sendiri. Dimarahi ummi abah, dan Emri tersenyum di belakang sendiri.
Aku tidak berapa kisah dengan sikap Emri, walaupun dia benar-benar menyakitkan hati. Yang membuatkan aku seperti dipeluk agoni, adalah sikap ummi dan abah. Kenapa mereka begitu? Kenapa mereka tidak pernah menyelidik terlebih dahulu? Kenapa mereka sering menyalahkan aku? Kenapa? Kenapa? Bukan setakat menyalahkan aku, malah membiarkan aku. Emri dilebihkan, hingga aku diketepikan.
Sebab aku anak sulungkah? Adakah hanya kerana itu?
Pernah sekali, ketika aku berumur 7 tahun dan Emri berumur 8 tahun, kami bergaduh berebut pelampung polisterin. Akhirnya, Emri mematahkan pelampung itu. Abah ketika itu juga mengambil kepalaku dan menghentakkannya pada kepala Emri. Kenapa? Kenapa kepalaku dihentak sekali? Kemudian aku yang dimarahi perihal pelampung.
Pernah sekali, Emri bercerita di dalam kereta berkenaan pencapaiannya di sekolah. Dia hanya berjaya dalam satu bidang. Ummi abah mendengar dengan khusyuk dan merespon banyak perkara dari cerita Emri. Bila Emri selesai, aku pula bercerita. Pencapaianku di sekolah sangat banyak. Tetapi ummi abah senyap sahaja. Sedang aku khusyuk bercerita, ummi tiba-tiba bersuara:
“Bang, lawa kan rumah tu?” Dan ketika itu juga, perbincangan berubah kepada hal pembelian rumah. Aku seakan tidak wujud. Ketika itu, hatiku seakan berlubang.
Pernah sekali, aku menegur Emri atas perlakuannya yang menyusahkan aku sebagai pengawas di sekolah. Emri bukan pengawas. Aku pengawas. Tetapi Emri membantah dan bergaduh dengan aku. Ummi masuk campur. Pada Emri, ummi tidak berkata apa-apa. Tetapi padaku, ummi cerca diriku, dan sempat dia menyindir:
“Ummi tengok, ikrar pengawas siap tampal di rumah. Tapi macam tak guna sahaja ikrar itu”
Hati aku sakit.
Emri sangat sukakan sukan. Dia suka bermain bola dan badminton. Abah juga sama. Apabila musim Piala Dunia, atau apa-apa sahaja kejohanan sukan seperti Sukan Sea, mereka sanggup menonton hingga tidur lewat dan sebagainya.
Aku suka main permainan video dan komputer. Aku sangat gemar dengan permainan strategi dan lawan-lawan. Tetapi abah sering memarahiku apabila aku bermain lebih dari sejam. Malah, abah menetapkan jadual dengan membenarkan aku bermain pada petang sebelah asar sahaja. Dan lebih menyedihkan, ummi sering mengajak aku menemaninya keluar pada waktu asar. Bila aku tidak mahu mengikut, ummi akan menyindir aku:
“Utamakan game lagi daripada ummi” dan abah akan berkata: “Inilah dia penangan game, sampai tak mahu teman ibu ayah” Pernah juga dia menghina game yang aku main sebagai wasilah syaitan dan merosakkan pemikiran. Hati aku sakit. Waktu bermainku hanya selepas Asar. Kenapa? Aku tidak berminat menonton televisyen, aku tidak berminat dengan rancangan juara lagu, aku tidak berminat yang lain-lain.
Kenapa waktu untuk aku lakukan perkara kegemaranku hanya sejam? Dan dituduh pula merosakkan dan sebagainya? Kenapa? Kenapa?
Emri, keputusan UPSRnya hanya 3A, bersama 1B dan 1C. Keputusan PMRnya teruk, hanya 5A. Aku mendapat keputusan UPRS dengan 5A, dan PMRku adalah 9A. Kenapa layanan terhadapku begini sekali?
Dan bukan sekali dua Ummi memanggil aku monyet, abah memanggilku anjing, serta menyamakan aku sebagai binatang lain dan sebagainya. Jangan ditanyakan lempangan dari tangan bapaku, usah dikira penamparnya, juga tidak perlu dihitung sebatannya. Belum dicampur dengan jegilan matanya dan kata-katanya serta sindiran-sindirannya. Semuanya membuatkan aku sakit.
Kenapa?
Air mataku berlinangan.
Aku memegang dadaku.
Sakit.
Sekarang, ummi sampai hendak membuang aku?
******
“Yang enta bawak ni, tarbiyah nazi”
Itu kata-kata guruku. Dia berkata berdasarkan cara aku mentadbir asramaku. Aku tinggal di sebuah asrama yang ditinggalkan. Asrama itu punya guru asrama, tetapi tidak aktif dan langsung tidak kisah akan perjalanan asrama. Akhirnya, aku berusaha bermati-matian menjaga asrama itu. Asrama itu pula letaknya terpencil, di atas bukit, sedikit jauh dari kawasan utama sekolah.
Tanpa pembimbing, aku menjaga asrama itu dengan kesungguhan semenjak tingkatan tiga. Aku amat keras. Selipar yang tidak disusun aku buang. Barang yang tidak tersusun aku buang. Disiplin masa amat aku titik beratkan. Kebersihan sangat aku jaga.
Dengan diriku yang ketika itu baru berumur 15 tahun, aku seakan-akan memegang jawatan warden sambil belajar. 15 tahun, apakah budak berumur 15 tahun fikir? Dan keadaan itu berterusan sedimikian, aku menjaga asrama itu dengan sekumpulan pelajar lain yang juga berumur sepertiku, sehingga aku tingkatan lima.
Dan aku dikatakan membawa tarbiyah nazi.
Hanya kerana, aku terbuang sekali selipar guru asramaku yang tidak bersusun. Sedangkan, aku tidak mengetahui perbezaan seliparnya dengan selipar pelajar lain yang turut berselerak. Guru asramaku mengadu kepada guru di hadapanku ini. Ustaz Hamidi.
Apa yang dia katakan pada hari itu, menambah lubang pada hatiku. Sakit.
Tanpa ilmu yang cukup, dalam keadaan sukar, bersama umur yang muda aku menjaga asrama itu. Kenapa kasar sekali tegurannya? Kenapa dia tidak selidik dulu keadaan aku? Pertamanya, aku tidak tahu ada selipar ustazku sekali. Keduanya, membuang selipar adalah cara yang ayahku didik apabila aku tidak menyusun seliparku.
Bagaimana? Kenapa menyamakan caraku dengan Nazi?
Tekanan dari rumah, menjalar hingga ke sekolah.
Aku tidak mampu berkata apa-apa.
Diam.
Diam dalam agoni.
Sakitnya tidak terperi.
Di rumah, di sekolah, sama sahaja.
Manusia tidak memandang aku baik di sekolah, hanya kerana perawakan aku. Aku dikatakan kasar, dan kurang ajar. Aku dikatakan tidak beradab pada orang tua dan suka menghentam orang. Aku juga dikatakan pemarah dan panas baran.
Aku tidak menyangkal kebenaran bicara mereka. Memang benar itu semua.
Tetapi siapa antara mereka yang mendekati aku? Memahami keadaan aku? Memberitahu kesalahanku dengan cara yang baik? Menunjuk ajarku cara yang betul? Menegurku dengan jujur?
Tahukah mereka kenapa aku kasar? Tahukah mereka kenapa lagakku sedikit kurang ajar? Tahukah mereka kenapa aku sampai kelihatan tidak beradab dan suka menghentam orang? Adakah mereka tahu kenapa aku pemarah dan agak panas baran?
Pelajar-pelajar lelaki suka mengumpat aku. Pelajar perempuan juga sama. Itu dan ini mereka bercerita. Apa-apa yang kulakukan baik, dituduh menunjuk-nunjuk. Apa-apa yang aku tersilap, mereka besar-besarkan seakan-akan aku ini membawa ajaran sesat. Saat aku jatuh, mereka ketawa gembira. Saat aku naik, mereka bermuram durja. Jangan dikira e-mail celaan yang datang menerpa. Sangat banyak dan tidak terkira. Termasuk surat-surat layang yang kadangkala diselitkan di bawah meja, dan di dalam kotak pensil.
Guru-guru juga menyatakan itu dan ini berkenaan aku. Mereka tidak suka dengan gaya aku yang sangat terus terang dan kemudiannya dikatakan tidak beradab itu. Aku tidak beradab, atau aku hakikatnya tidak tahu adab untuk situasi-situasi yang dikatakan aku tidak beradab itu? Adakah mereka menyelidik kenapa aku begitu?
Tidak. Mereka terus menujahku dengan hentaman-hentaman.
Seorang guru pernah memberitahuku, bahawa mereka pernah bermesyuarat hanya kerana sikap aku. Seorang lagi guru pernah berkata: “Kalau ada 10 orang macam kamu Emrul, boleh hancur sekolah ni”
Aku menghela nafas.
Bersandar sendirian di tiang musolla. Tiada yang memahami. Tiada yang mendekati untuk menyelami. Sakit. Sakit.
Dadaku sangat sakit. Aku genggam dada kiriku. Sakit.
Kututup mataku dengan lutut dalam keadaan duduk.
Menangis.
*****
Gempar. Adikku Emri, menumbuk seorang pelajar junior. Sekolahku kecoh. Ibu bapa pelajar itu sehingga melaporkan kepada pihak polis dan ingin melibatkan sekolahku sama.
Aku naik angin. Sakit hati. Ada pula suara-suara belakang berbisik.
“Emrul tu dah la pengawas, adik macam syaitan”
Aku sudah hampir SPM ketika itu. Terus aku demam panas dengan apa yang berlaku. Dalam rohani dan jasadi itu, aku menelefon rumah.
“Assalamu’alaikum Abah. Emrul nak bagitahu ni. Emri buat masalah lagi.” Ya, masalah lagi. Ini bukan masalah yang pertama.
“Hem” Abah endah tak endah.
“Ini masalah besar abah. Libatkan sekolah. Polis nak datang sekolah. Emri tumbuk budak”
“Oh? Nanti la abah tengok macam mana”
“Abah?” Aku rasa sangat terluka dengan respon itu. Kenapa begitu?
Dan perbualan terhenti di situ sahaja. Aku tidak meneruskan. Abah juga tidak menyambung. Aku sempat mendengar dia ketawa kecil di akhir putusan talian.
Tidak lama kemudian, Emri digantung sekolah dan abah ummi dipanggil hadir ke sekolah. Mereka tidur di rumah tamu sekolahku dua hari. Semasa kehadiran mereka, kelukaan aku seakan terubat. Aku kira, Emri akan ditegur.
Tetapi aku sangat terkejut.
Emri langsung tidak ditegur. Malah dibawa berjalan ke sana ke mari. Kehadiran ummi abah, tidak lebih seakan-akan perlancongan. Dan sempat pula ummi abah berziarah ke rumah kawan-kawan Emri yang tinggal berdekatan sekolah.
“Abah, kenapa abah tak tegur Emri?” Aku bertanya dengan baik. Aku amat yakin nadaku ketika itu sangat baik dan bersih dari kekasaran.
Abah memandangku dengan mata yang terbuntang.
“Kenapa awak ni macam anjing ha? Nak bergaduh sahaja dengan adik awak tu” Suara abahku meninggi.
Hatiku pecah seribu. Ah? Anjing? Aku yang nak bergaduh dengan adik aku? Apa ni?
Hatiku sakit. Dahiku berkerut. Kenapa? Kenapa semenjak dari mula aku mengingat, hingga hari ini, ibu bapaku sebegini terhadap aku? Apakah mereka buta?
Anjing?
Ummi pula menambah: “Ummi kecewa dengan awak. Tahu tak? Ummi rasa menyesal lahirkan awak”
Menyesal lahirkan aku?
Semenjak itu, aku tidak bercakap apa-apa pada ummi dan abahku.
Dadaku sangat sakit.
Sangat-sangat sakit.
*****
Aku seorang penghafal Al-Quran. Walaupun aku amat kasar dan panas baran, kurang ajar dan tidak beradab, serta 1001 lagi kata orang terhadap aku, aku sebenarnya sangat sukakan kebaikan. Aku menghafal banyak sirah dan perjalanan tokoh-tokoh dakwah. Aku selalu mengadakan tazkirah walaupun aku sedar ramai yang membenci. Dengan hafalanku, aku biasanya disuruh menjadi imam oleh guru Al-Quranku, Ustaz Malik.
Tetapi, pada sekitar seminggu dua selepas kejadian kes Emri, Ustaz Malik tidak pernah lagi memanggil aku. Lama, hampir sebulan. Aku juga kehairanan. Malah, aku tidak dihantar menjadi imam tarawih pada tahun itu. Sedangkan, aku mula menjadi imam tarawih pada umur 14 tahun kerana hafalanku dan bacaanku yang baik.
Kenapa?
Beberapa hari sebelum SPM, Ustaz Malik memanggilku.
“Ada sedar apa-apa yang berbeza antara ana dengan enta?” Dia bertanya dengan kedua belah tangannya bersatu dan diletakkan di bawah dagu.
Aku mengangguk. “Ustaz, dah tak pilih ana jadi imam? Dan ustaz dah jarang cakap dengan ana?”
Ustaz Malik mengangguk. “Kenapa agak-agak?”
Aku menggeleng. Yang ini, aku tidak tahu.
“Sebab enta kurang ajar dengan mak ayah enta”
Kening aku terangkat. Kurang… ajar?
Kemudian aku diceramah panjang. Ustaz Malik sempat meninggi suara terhadap aku. Aku dihentam, dihentam dan dihentam. Dari ceramah panjangnya, baru aku tahu bahawa abah telah memanjangkan hal keluargaku pada guru-guru.
Ibu bapa adalah makhluk suci di atas dunia. Itu pandangan normal semua manusia. Kalau seorang ayah mengadu akan sikap anaknya, manusia akan sering menuding bahawa si anak bermasalah. Begitu biasanya.
Dan aku juga terperangkap dalam kezaliman ini.
“Ana tak sangka enta macam ini orangnya” Itu kata-kata terakhir Ustaz Malik.
Aku keluar dari bilik Ustaz Malik dengan hati yang sudah tiada. Dahulu sudah pecah seribu. Hari ini, setiap keping berpecah menjadi sejuta lagi kepingan. Seakan-akan hablur yang sudah tidak kelihatan.
Aku mengetap bibir. Sakit.
******
Aku memilih untuk merendahkan keputusanku. Aku menjawab SPM dengan tidak bersungguh-sungguh. Semasa percubaan, aku mendapat keputusan yang cemerlang walaupun aku tidak studi dengan sempurna. Aku studi dengan lebih kuat selepas peperiksaan percubaan. Tetapi apa yang berlaku menghancurkan jiwaku.
Akhirnya, keputusan SPM seperti yang aku jangka.
Aku hanya dapat 3A dan beberapa B, seterusnya yang lain semuanya melepasi kredit. Keputusan cukup-cukup makan kata orang. Ummi sangat kecewa. Begitu juga abah. Aku hampir hendak ketawa. Ketawa kerana aku tidak pasti atas apa yang mereka kecewakan, bukan ketawa kerana mereka kecewa.
Hal ini kerana, aku tidak tahu, apakah mereka kecewa benar-benar kerana markah aku rendah, atau mereka sebenarnya kecewa kerana terpaksa menceritakan perkara pahit ini kepada semua teman-teman mereka yang bertanya keputusanku.
Kalau sebelum ini, aku adalah bahan untuk mereka meninggikan diri mereka. 5A dan 9A aku diceritakan kepada semua. Orang tidak telefon, ummi dan abahku yang sibuk menelefon orang. Keadaan sekarang terbalik. Tidak akan ada yang memuji. Panggilan telefon dari rakan yang bertanya, ibarat mimpi ngeri mungkin.
Aku tersenyum.
Senyum dalam sakit. Hati sudah tiada.
Sambil itu, akalku terus berfikir, betapa aku tidak boleh lagi tinggal dalam suasana yang merosakkan ini. Aku perlu sambung pengajianku ke luar negara. Agar aku mendapat peluang membesar bukan dalam suasana sebegini. Aku nampak masa hadapan aku, aku nampak kelemahan dan kekurangan pada peribadi aku.
Aku nak jadi orang yang sabar, tenang, tidak panas baran dan menyenangkan pula orang lain.
Aku perlu keluar dari suasana yang menyeksa aku ini. Aku perlu keluar dari pandangan panas guru-guruku. Aku perlu keluar dari kritikan dan tohmahan serta kebencian pelajar-pelajar sekolahku. Aku perlu keluar dari kehidupan bersama keluargaku.
Maka aku buat keputusan pergi ke luar negara.
Semasa aku menghantar perancanganku kepada abah, dia rasa sempit.
“Studi di Malaysia sahaja. Sikit duit kena pakai” Abah berbicara.
Aku hendak menyambung pengajian agama di luar negara. Di sebuah negara yang memang sedikit mahal, tetapi pengajiannya tersusun dan kemas. Negara itu hanya memerlukan pemohonnya sekadar melepasi kredit.
“Kita nak beli rumah baru ni Emrul. Rumah baru” Itu kata ummi.
Hati aku tercalar lagi. Rumah baru? Ummi dan abahku sudah mempunyai dua rumah sendiri. Hendak beli rumah baru? Rumah keduaku ini tidak cukup besarkah?
“Emrul nak pergi jugak”
Aku berkeras.
Akhirnya, abah terpaksa membenarkan. Jika tidak, aku tidak mahu belajar apa-apa, dan itu lebih memalukan dirinya.
Maka aku pergi jauh.
Meninggalkan kelam kehidupanku. Meninggalkan segala kepahitan. Meninggalkan semua suasana yang menghancurkan. Aku ingin suasana baru. Suasana yang membina. Suasana yang menghias jiwaku.
Suasana, yang membuang agoniku.
******
“Selamat hari lahir, selamat hari lahir, selamat hari lahir abang Emrullah, selamat hari lahir” Lagu selamat hari lahir itu disambung dengan tepukan kegembiraan.
Aku menangis. Tidak akan sangka ini kejutannya.
“Abang Emrul, ada masalah. Enta sahaja boleh selesaikan” Itu kata Mukmin semasa memanggilku di rumah tadi. Aku segera bergegas mengikutinya, merentasi ketajaman angin yang menyengat sum-sum pada musim sejuk ini.
Berhenti di hadapan kedai manisan terkenal di negara gersang ini.
Dan disambut dengan penuh kegembiraan.
MasyaAllah…
Hatiku kembang kuncup gembira.
“Ana sayang korang semua seh” Aku berucap terharu, sambil memotong kek. Adik-adik juniorku, Faiq Zaini, Salam Abdullah, Kamal Abdullah, Mukmin, Hanif Zikri, Mahdi Ibrahim, Khairi serta Naim Deraman tersenyum.
“Kami sayang abang Emrullah juga” Serentak.
Aku menggeleng. Ya Allah… Gembiranya.
Gembira. Sudah lama aku duduk di bumi gersang ini. Aku dikelilingi sahabat-sahabat yang baik. Senior-senior yang sedikit pun tidak prejudis. Junior-junior yang sangat optimis. Tanah gersang ini ibarat syurga untuk aku. Seakan-akan ini tanah airku. Setiap melayu di sini adalah keluargaku.
Aku rasa hidup di sini.
Kepingan-kepingan hatiku yang pecah, sudah tercantum semula.
Dicantumkan oleh suasana ibarat syurga di sekelilingku.
Air mataku tidak henti mengalir.
Air mata gembira.
Aku sudah tidak seperti dahulu. Tidak lagi panas baran. Jauh sekali kurang beradab. Aku juga mampu mengawal tuturku. Aku tidak terlalu fanatik dengan kebaikan, juga tidak terlalu pesimistik dengan keburukan. Aku bersederhana. Aku mampu bersederhana. Aku mampu bertenang. Aku mampu tersenyum gembira sekarang.
Malah, rezekiku di bumi gersang ini subur. Zaman ledakan blog, membantuku meluaskan karyaku. Aku terkenal sebagai penulis novel. Terasa seperti melayang ke syurga. Bukan duit yang aku gembirakan. Tetapi kasih sayang dan tembakan berdas-das doa daripada pembaca-pembaca membuatkan aku bahagia. Meninggalkan agoni yang selama ini menyeksa jiwa.
Aku terasa seperti mempunyai keluarga.
Keluarga.
Serta merta aku teringat.
Keluarga.
******
Hubungan aku dengan ibu bapaku sudah semakin baik. Aku rasa. Mungkin antara sebabnya, berjauhan. Sebab kedua, kerana aku sendiri jarang menghubungi mereka. Bukan tidak rindu, hanya tidak mahu menimbulkan sengketa.
Aku sendiri cuba beralah dengan apa yang berlaku pada masa lalu. Aku tahu, kalau aku bising pun, dunia tidak akan menyebelahi diriku.
Maka aku berusaha memperbaiki hubungan aku dengan mereka.
Tetapi, aku kira, abah dan ummi masih bersikap pesimistik denganku.
Walaupun aku tekah berjaya, dikenali seantero Malaysia, malah penulisanku diikuti oleh warga Brunei, Singapura dan Indonesia, ummi dan abah tetap memandang aku dengan pandangan yang sama. Semuanya bermula dengan aku meminta untuk berkahwin.
“Awak masih budak-budak”
Sedangkan, aku amat merasakan bahawa aku perlu berkahwin. Perlu, dengan nak, ada perbezaan yang amat ketara. Dan aku masih ingat, dalam pengajian Nizam Usrah yang aku pelajari, dalam bab nikah, Ibn Abbas RA pernah berkata kepada anak-anaknya:
“Wahai anak-anakku, sesiapa antara kamu yang merasakan dirinya sudah patut berkahwin, beritahu aku. Maka akan aku segera nikahkanmu”
Syarah pada atsar ini adalah: “Apabila sudah sampai waktu anak perlu berkahwin, maka ibu bapa tidak boleh menangguh-nangguhkannya. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anaknya berkahwin dengan baik”
Tetapi jawapan yang aku terima adalah “awak masih budak-budak”?
Aku pergi bertemu dengan ramai orang, dan semua menyuruh aku mentaati kedua ibu bapaku. Aku tunduk. Walaupun perit, namun aku bersabar. Namun, warga tanah gersang tidak zalim kepada aku. Ada senior mengetahui keadaanku dan berkata:
“Enta kena yakinkan kedua mereka, bahawa enta memang patut dibenarkan berkahwin”
Maka aku usaha lebih keras. Dan aku menjaga hubungan dengan mereka lebih baik.
Aku perlu pantas kerana perempuan cintaan aku tidak mengetahui aku mencintainya. Dan dengarnya, dia sudah menjadi rebutan ramai.
Antara usaha aku adalah, menulis post berkenaan abah semasa hari lahirnya. Tanda penghargaan. Aku kira, itu akan menyenangkan jiwanya, membuatkan dia gembira dan suka.
Tetapi, bukan semua perancangan manusia, mencapai hasil sebagai mana yang dia harapkan.
Abah menghantar e-mail pada keesokan harinya. Dia menuduh aku memalukannya di hadapan orang ramai. Dia merujuk kepada ayat aku di dalam blog – “Walaupun dia juga kadangkala melakukan kesilapan” –
Adakah ayat itu memalukan? Empat muka surat aku ceritakan kebaikannya yang susah payah aku ingati kerana banyaknya kepahitan dari kemanisan bersama dengannya. Hanya dengan satu ayat, dia menuduh aku memalukannya? Ratusan komen dalam blog aku pada post hari lahir ayahku itu, memujinya, malah bertanya kepadanya bagaimana dia membesarkan aku. Semua ingin menjadi ayah seperti dia – seperti yang aku ceritakan di dalam blog itu, semestinya, yang buruk-buruk aku tidak kongsikan –
Dan dia menuduh aku memalukannya?
Adakah ayat kadangkala melakukan kesilapan itu sesuatu yang memalukan? Semua manusia melakukan kesilapan.
Hatiku rasa sakit.
Setelah lama hubungan ini tidak hangat dengan pertembungan, setalah sekian lama aku cuba menjaga hubungan, akhirnya abah juga yang hendak memutuskannya. Hanya kerana satu kalimah, yang pada aku dia tidak ada sebab untuk malu kerananya.
Apa sebenarnya yang berada dalam fikirannya?
*****
“Ummi, pergi la baik-baik dengan keluarga dia ya?” Aku merayu. Aku dengan abah perang dingin. Aku hanya menghubungi ummi, tambahan aku sudah mula melihat wanita idaman aku sudah hampir terlepas.
Jawapan Ummi tetap sama. “Ya, ummi usahakan”
Itu kata-kataku pada Ummi tahun lepas. Aku percaya dengan Ummi. Aku sangka, usahaku menjaga hubungan dengannya selama ini berjaya. Tidak pernah aku menghantar sms hari lahir kepadanya. Tetapi tahun ini aku buat. Malah, aku buat post berkenaannya. Berbeza dengan abah, ummi sangat suka dengan post aku berkenaannya.
Aku kira, ummi akan membantuku.
Aku hanya menunggu. Aku tidak memilih menawan dengan cara mengorat. Aku tidak suka dengan perkara yang tidak syara’. Apa yang Allah benci, aku benci. Itu antara salah satu sebab, kenapa aku berusaha memperbaiki diri. Itu juga sebabnya, kenapa aku sanggup merendahkan diri pada ummi abah.
Tapi ada pepatah mengatakan, orang yang baik biasanya dipijak.
Mungkin ada benarnya.
Aku mendapat panggilan daripada ayah si perempuan yang aku cintai. Jawapannya amat mengecewakan.
“Maaf ya Emrul. Semalam, ada orang lain dah meminang dia”
Aku macam tidak percaya. Aku bertanya: “Keluarga saya tak ada hubungi pakcik?”
“Tak ada langsung. Kenapa ibu bapa Emrul tak hubungi pakcik?”
Lidahku kelu tidak menjawab. Dadaku sakit. Sakit.
MasyaAllah…
Aku sudah utarakan hal masuk meminang ini pada Ummi semenjak tahun lepas.
Kenapa Ummi? Kenapa?
*******
Aku menangis. Menangis dan menangis. Kecewa sebab tidak dapat perempuan yang aku suka? Ya. Tipu jika tidak kecewa. Namun kekecewaan yang terbesar bukan itu. Kekecewaanku yang terbesar adalah sikap ummi dan abahku.
Kenapa?
“Emrullah, bukak. Dah tiga hari kau tak makan minum ni. Kenapa kau tak keluar bilik langsung?” Kawanku, Amrillah, mengetuk bilik dengan kuat. Kedengaran juga suara sahabat serumahku yang lain, Qayyum dan Tohir.
Ya, aku tak makan, dan tak minum. Malah aku menahan kentut, tidak membuang air besar atau air kecil. Aku juga tidak tidur. Aku solat 15 waktu, bersama dengan pelbagai solat sunat yang lain, selama tiga hari itu, hanya dengan satu wudhu’.
Kenapa? Soalan itu aku ulang banyak kali.
Air mata sudah kering semenjak semalam.
Mungkin tidak lama lagi, air mata darah akan keluar.
Kenapa?
Kenapa ummi abah?
Kenapa?
Agoni tidak pergi rupanya. Hanya bersembunyi.
Kini kembali, menjalari diri.
Ya Allah, sakitnya.
Aku menutup mata.
Gelap.
Sakit.
*****
Anak, dikatakan perlu mentaati ibu bapanya. Ya, kalam Allah sudah termaktub begitu. Benar, aku juga mengakuinya. Aku sebagai pelajar agama, amat arif dalam hal ini. Anak derhaka, tempatnya di neraka. Selagi ibu bapa tidak menyuruh anak itu mengingkari Allah SWT, maka adalah wajib bagi si anak mentaati ibu bapanya, walaupun ibu bapanya kafir.
Tetapi, sepanjang pengajian agamaku, aku tidak berjumpa dengan pernyataan bahawa ibu bapa itu suci dari dosa. Aku juga tidak berjumpa dengan pernyataan bahawa ibu bapa langsung tidak boleh ditegur.
Ramai bapa suka mengungkit kekebalan mereka dalam hal ini. Mereka mengungkit perihal hukum hudud yang menyatakan bahawa, apabila seorang bapa membunuh anaknya, maka bapa itu tidak akan dikenakan qisas. Hal ini kerana, disebabkan bapa itulah, lahirnya anak.
Ya, aku tidak menafikan hal itu. Perlepasan dari hukum itu adalah kerana Islam menghormati posisi bapa.
Tetapi, terlepas dari hukuman hudud, apakah bermakna ia tidak berdosa? Tiada siapa menyatakan sedemikian.
Jadi, ibu bapa tidak terlepas dari menerima teguran. Ini kenyataan. Dan pastinya, si anak yang menegur perlu menegur dengan beradab dan berhikmah. Jangan mengguris hatinya. Namun, pada jihat pandanganku, ketergurisan hati ibu bapa kerana kelemahan adab seorang anak, tidak menafikan kebenaran pada tegurannya.
Memang, kalau dari arah si pemberi nasihat, si anak salah dalam adabnya. Tetapi teguran seorang anak, walaupun mengguriskan hati ibu bapa, jika benar, maka wajib untuk ibu bapa mengambil pengajaran daripadanya. Dari arah penerima nasihat, ibu bapa patut menerima.
Ibu bapa tidak akan patut sesekali lupa bahawa, seorang anak adalah antara sahamnya di akhirat. Anak, mempunyai hak untuk menarik ibu bapanya sekali ke neraka, sekiranya ibu bapa tidak memenuhi hak anak-anaknya, dan menyebabkan anak-anaknya terlontar ke neraka.
Jika anak mempunyai tanggungjawab untuk mentaati ibu bapa, kerana itu arahan Allah SWT. Maka adalah wajib ibu bapa memberikan hak kepada anak-anak, kerana itu juga arahan Allah SWT. Tetapi kenapa tanggungjawab anak untuk mentaati ibu bapa sahaja sering diungkit?
Kenapa, anak derhaka sahaja yang sering disebut?
Tiadakah ibu bapa derhaka?
Aku kata ada.
Itulah dia ibu bapa yang tidak memberikan hak-hak anaknya, dalam kehidupan si anak. Mereka derhaka, kepada Allah SWT.
Ummi abah, apakah kalian tidak memahami?
Aku menangis hiba dalam kegelapan.
Dadaku rasa sangat sakit.
*****
Gelap. Sepi. Sunyi. Sejuk.
Aku kembali pada situasi ini. Apakah hidupku tidak berjumpa dengan perubahan yang kucari?
Adakah memang aku ditakdirkan untuk hidup dalam kepahitan, dan pergi dalam agoni yang menyeksakan?
Aku rasa lemah. Langsung tidak berdaya.
Entah kenapa, mataku rasa hangat.
Ya Tuhan…
Ya Allah…
Kegelapan ini seakan jutaan jarum yang mencucuk jiwaku.
Kenapa aku kembali di sini?
Apakah memang pergiku dalam agoni?
Tiba-tiba, aku mendengar suara esak tangis.
“Bangun Emrul, bangun. Ini ummi sayang” Kelihatan Ummi mengusap wajahku.
“Emrul? Emrul dengar tak ni? Ini Abah” Abah memegang tubuhku.
Aku hendak bersuara. Tetapi tidak mampu. Kenapa tidak mampu? Dan kenapa sampai ummi dan abah berada di sini?
Ketika ini, seorang lelaki memakai kot putih datang. Doktor.
“Tuan, puan, tolong jangan lakukan begini pada tubuh si mayat” Lelaki itu bercakap di dalam bahasa inggeris. Tetapi aku memahaminya. Terkejut.
Mayat?
Ummi dan abah menangis sekuat hati. Sekuat hati.
“Maafkan ummi nak…”
“Maafkan abah emrul”
Aku sudah mati?
Aku memandang siling.
Mati.
Dalam agoni?
“Dia dah keluar makan makcik. Dia tersenyum dan bercanda dengan kami. Malam itu, dia cerita, dia dah siapkan novel fasal kegembiraan hidup kami di perantauan ini” Faiq Zaini berbicara di sisiku.
Ya, aku masih ingat dengan baik. Aku sudah keluar dari bilik. Bergembira dengan rakan-rakan. Tetapi aku ada perasaan bahawa aku hendak pergi jauh. Maka aku siapkan novelku yang terbaru dengan segera dan menghantarnya pada syarikat. Aku dedikasikan itu semua untuk keluarga di tanah gersang ini.
“Habis kenapa dia mati? Kenapa doktor kata hatinya pecah?”
Hati pecah? Majazi atau benar-benar realiti?
Faiq diam.
“Maafkan saya, kalau saya bertanya kepada pakcik. Apa yang pakcik akhir sekali katakan pada dia semasa pakcik menelefon dia baru-baru ini?”
Aku memandang abah.
Air mata yang tadi mengalir, tiba-tiba berjejesan deras.
Abah menangis keras. Disertai ummi.
Masih jelas di telingaku, abah berkata: “orang macam awak, yang kurang ajar dengan ibu bapa ni, tempatnya di neraka. Awak anak derhaka tahu tak? Anak derhaka”
Dan selepas itu, aku segera tamatkan panggilanku. Aku yang mengajaknya berbincang dengan baik perihal hubungan kami, dituduh sebagai kurang ajar. Abah meninggi suara dan mengherdik aku di talian. Dia fikir, aku hendak melawannya.
Aku hanya menyoal: “Abah, kalau abah ini rasa abah perlu minta maaf, boleh abah senaraikan apa yang abah perlu minta maaf pada Emrul?” Dan aku bertanya itu, selepas aku menyenaraikan apa yang aku perlu minta maaf kepadanya.
Abah kata, dia suci. Anak-anak tidak boleh melawan dia. Tidak boleh menegur dia. Terus dia menuduhku derhaka, dan menyatakan bahawa aku ahli neraka. Selepas kutamatkan talian, aku diam.
Dada kiriku terasa sangat sakit ketika itu. Faiq Zaini ketika itu ada di ruang tamu rumah sewaku kerana menziarahiku yang sudah semakin sihat selepas berkurung tiga hari.
Dan ketika itu aku jatuh.
Dadaku sangat sakit.
Sakit.
Akhirnya aku mendengar bunyi letupan kecil dalam tubuhku. Mulutku menyemburkan darah.
Dan keadaan ketika itu menjadi gelap. Hinggalah aku terbangun, dan rupanya aku telah pergi meninggalkan dunia fana. Baru aku ingat, bahawa hati aku benar-benar pecah dalam bentuk realiti. Bocor kerana terlalu menahan tekanan, akhirnya meletup.
Sekarang, aku terasa seperti semakin jauh dari tubuhku. Terasa ada yang menarik aku pergi.
“Pakcik, pakcik tahu tak, dalam dunia ini, ada juga kategori ayah derhaka?” Faiq Zaini berbicara. Dalam keadaan aku yang semakin hendak menghilang, aku melihat Faiq menggenggam tangannya seerat mungkin. Ada gaya geram.
Abah menoleh kepada Faiq. Faiq mula berlinangan air mata.
“Ayah yang tidak menunaikan haknya, pada anak-anak. Ayah yang menyeksa jiwa anak-anaknya. Itu, ayah yang derhaka pakcik. Itu, ayah yang derhaka” Faiq berpaling, dan keluar.
Abah ummi tenggelam dalam tangis. Ummi mengusap-usap kepalaku, mengucup-ngucup dahiku.
Aku tersenyum. Tersenyum dengan keadaan ini. Faiq, sangat menyayangi aku. Sampai berani menegur bapaku begini, pada saat ini, secara terang-terangan.
Alangkah bahagianya, andai aku dapat rasai kehangatan kucupan dan usapan ummi sekarang.
Kenapa?
Kenapa baru sekarang?
Agoni ini sangat menyeksa.
Hingga menarik nyawaku keluar, hanya kerananya.
Hilal Asyraf
http://ms.langitilahi.com/
idea cerita no best tapi kalau boleh dikemaskan lagi, lagi bagus.
ReplyDelete